Tuesday, December 30, 2008

SAYA MAAFKAN KAMU..


BERHIJRAHLAH DENGAN AKHLAKMU !!

Hari ini saya rasa amat gembira kerana mendapat satu ilmu di dalam satu ceramah pekanan (maknanya mingguan dalam bahasa Indonesia). Ustaz, penceramah itu mengatakan bahawa akhlak itu ada empat peringkat. Setiap peringkat ada penjelasan dan contohnya. Mungkin sahabat-sahabat semua boleh menilai di peringkat manakah akhlak kita sebenarnya:-

Akhlak Razilah (tercela): akhlak yang buruk seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, hasad dengki, khianat dan banyak lagi. Pada pandangan saya semua sahabat sudah sedia maklum akan sifat-sifat tercela golongan ini.

Akhlak Hasanah (Baik): ini adalah akhlak yang baik pada pandangan Islam iaitu taraf umum manusia biasa. Contohnya seseorang yang melakukan kejahatan terhadap kita, lalu kita pun balaslah kejahatan itu setimpal dengan perbuatan yang dia lakukan terhadap kita. Macam dalam hukuman balas (Qisas) itu. Orang pukul kita di tangan, kita balas balik kat tangan dia, macam dalam al-Quran kata kaki dengan kaki, telinga dengan telinga dan sebagainya.

Akhlak Karimah (Mulia): ini pula taraf dia tinggi sedikit dari peringkat Akhlak Hasanah tu. Maknanya orang yang bersifat dengan Akhlak yang Mulia ini adalah seorang yang pemaaf. Sebagai contoh kalau ada orang yang melukakan kita tak kiralah luka ‘dalaman’ atau ‘luaran’, kita dengan lapang hati memaafkannya, tidak bertindak balas macam orang yang peringkat Akhlak Hasanah tu. Kira macam ‘salamatus sadri’ jugaklah, iaitu tahap ukhwah paling rendah. Kalau tahap ukhwah paling tinggi akan mencapai ‘ithar’. Iaitu sanggup berkorban harta benda dan jiwa raga untuk sahabat. Tinggi tuh…

Akhlak ‘Azimah (Agung): inilah peringkat paling tinggi dalam berakhlak. Inilah juga dikatakan peringkat Akhlak Rasulullah SAW, bukan sahaja beliau memaafkan orang yang buat jahat/menzaliminya malahan memberi hadiah dan menziarahi mereka pula. Seumpamanya memberi hadiah dengan hati yang ikhlas kepada musuh yang begitu membenci diri kita. Inilah hikmahnya, musuh akan terus tertawan dengan kerendahan hati kita. Cubalah sahabat-sahabat fikirkan secara kontekstual (tersirat).

p/s: beberapa hari lepas ada seseorang menghantar SMS memohon maaf atas kesilapannya terhadap saya, lalu saya terfikir perlukah saya memaafkannya? Fikir punya fikir, alhamdulillah hidayat Allah swt datang menderu laju melalui lisan ust penceramah tersebut. Allah swt itu Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri hamba-Nya. InsyaAllah saya akan berusaha untuk Berakhlak Karimah iaitu akhlak seorang yang memaafkan.. Doakan saya. Saya Maafkan Kamu..

created by: marjaat_syuhada85@yahoo.com

Monday, December 29, 2008

DOA QUNUT NAZILAH


اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم
اللهم بَدِّد شَملَهُم و فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم
وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباًَ مِن كِلاَبِكَ
يا قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم
يا الله
يا الله
يا الله

اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ
إِهزِمهُم
إِهزِمهُم
إِهزِمهُم
وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu

di batang-batang leher musuh-musuh kami,

Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,

Pecah-belahkan dan kacau-bilaukan persatuan mereka,

Goncangkan pendirian mereka,

Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka,

Wahai tuhan yang gagah perkasa,

Wahai tuhan yang penuh raksasa,

Wahai tuhan yang bersifat murka.

Ya Allah

Ya allah

Ya allah,

Wahai tuhan yang menurunkan kitab,

Wahai tuhan yang mengarakkan awan,

Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,

Kalahkan mereka

Kalahkan mereka

Kalahkan mereka

Dan menangkan kami ke atas mereka.

KEMERDEKAAN YANG PERLU DIPERJUANGKAN


Begitu pantasnya masa berlalu bagaikan angin yang bertiup hingga tidak terasa, bulan demi bulan menjelang, tahun demi tahun pun berlalu. Kini kita umat Islam kembali betemu dengan bulan Muharram, menandakan datangnya kembali tahun yang baru; kali ini memasuki Tahun Baru 1430 Hijrah. Tidak seperti ketika datang Tahun Baru Masehi yang disambut dengan penuh semarak oleh masyarakat, Tahun Baru Hijrah disikapi oleh kaum Muslim dengan 'dingin-dingin' saja.

Tahun Baru Hijrah memang tidak perlu disambut dengan kemeriahan pesta. Namun demikian, sangat penting jika tahun baru Hijrah dijadikan sebagai momentum untuk merenungkan kembali kondisi masyarakat kita saat ini. Peristiwa Hijrah Nabi SAW sebetulnya lebih menggambarkan momentum perubahan masyarakat ke arah perubahan secara individual. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW tidak lain merupakan peristiwa yang menandai perubahan masyarakat Jahiliah saat itu menjadi masyarakat Islam. Inilah sebetulnya makna terpenting dari Peristiwa Hijrah Nabi SAW.

Namun, kita harus juga mengakui, meskipun berbagai peringatan telah banyak dilakukan, belum terdapat perubahan yang signifikan dari masyarakat kita. Boleh dikatakan kehidupan umat Islam masih dalam keadaan mundur. Bahkan ada kecenderungan kembali ke masa Jahiliah.

Makna hijrah

Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Adapun secara syar'i, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju darul Islam. Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariat Islam secara total dalam segala aspek kehidupan dan yang keamanannya berada di tangan kaum Muslim. Sebaliknya, darul kufur adalah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariat Islam dan keamanannya bukan di tangan kaum Muslim, sekalipun majoriti penduduknya beragama Islam. Definisi hijrah ini diambil dari fakta hijrah Nabi SAW sendiri dari Makkah (yang saat itu merupakan darul kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi darul Islam).

Peristiwa Hijrah memberikan makna sebagai berikut:

pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran; serta antara darul Islam dan darul kufur. Paling tidak, demikianlah menurut Umar bin al-Khaththab RA ketika dia menyatakan, ''Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan.'' (HR Ibn Hajar).

tonggak berdirinya daulah Islamiyah (negara Islam). Para ulama dan sejarawan Islam telah sepakat bahawa Madinah setelah Hijrah Nabi SAW telah berubah dari sekadar sebuah kota menjadi sebuah negara Islam. Bahkan dengan struktur yang menurut cendekiawan barat Robert N Bellah: ''Terlalu modern untuk ukuran zamannya. Saat itu Muhammad Rasulullah SAW sendiri yang menjawat sebagai ketua Negara”.

awal kebangkitan Islam dan kaum Muslim setelah 13 tahun sejak kelahirannya, Islam dan kaum Muslim terus dikucilkan dan ditindas secara zalim oleh orang-orang kafir Makkah.

Pengajaran dari peristiwa Hijrah Nabi SAW dalam Islahul Fardi wa Harakatul dakwah.


1. Wajib bagi setiap muslim untuk berusaha mengubah kemungkaran sedaya tenaganya. Sekiranya tidak mampu hendaklah meninggalkan tempat kemungkaran itu dan tidak berdiam di tempat kemungkaran/kemaksiatan tersebut. Allah tidak melihat kalah atau menang seseorang dalam menegakkan agamanya tetapi usahanya….

2. Betapa rapinya Nabi SAW dalam merancang dan membuat "program" dakwah, walaupun dakwah ini akan ditolong oleh Allah SAW (In tanshurullaha yanshurkum). Baginda SAW adalah seorang Nabi yang dijamin takkan dicelakai serta takkan dapat dikalahkan (wallahu ya'shimuka minan nas) akan tetapi Nabi SAW tetap menjalani semua sunnatullah dalam keberhasilan dakwahnya sebagaimana manusia biasa lainnya.

3. Rasulullah SAW sebagai seorang aktivis dakwah selalu kreatif dengan berusaha pelbagai inovasi baru dalam dakwahnya. Perancangan-perancangan yang baginda SAW lakukan ini nampak dari pemilihan berbagai tempat serta alasan-alasan yang amat relevan yang melatarbelakanginya.

4. Sebagai pemimpin (qiyadah), baginda SAW sangat memikirkan masyarakatnya. Segala cara baginda SAW usahakan agar para sahabatnya tidak disiksa dan diprovokasi oleh pihak lain. Baginda SAW pula yang paling akhir keluar dari Makkah setelah semua sahabatnya selamat.

5. Boleh bekerja sama dengan seorang fajir atau non muslim sekalipun, jika untuk kemaslahatan dakwah yang jelas, berdasarkan peristiwa Muth'im bin Ady.

Dengan ini saya mengajak pada semua pembaca agar kita renungkan dan belajar dari peristiwa Hijrah ini yang membawa mesej besar dalam kehidupan kita sebagai muslim samada kehidupan pada dirinya, keluarga dan masyarakat dalam kewajipan mengabdikan diri kepada Rabb. Sekiranya kehidupan kita masih bercopang-camping atau terdapat cacat celanya muhasabah diri dan pembaharuan harus dilakukan dari semasa ke semasa yang tidak perlu menunggu 1 Muharram untuk proses pembaikan. Inilah hijrah yang sebenar-benarnya perlu dilakukan oleh setiap Muslim dalam menjadikan Islam sebagai jalan dan gaya hidup. SALAM MA'AL HIJRAH...


from : nurul_humaira85@yahoo.com

Monday, December 22, 2008

MENANGISLAH...


Saya mendapat satu pesanan ringkas (SMS) dari seorang sahabat di Malaysia baru-baru ini. Ianya amat bermakna buat saya. Di sini saya paparkan untuk sahabat-sahabat sekalian moga-moga jadi pedoman..


Sahabatku,
Menangislah,
agar kita tahu hakikat diri yang hina,
perlu pada pencipta...

Menangislah,
Memang selamanya manusia akan mengata,
melempar cela, hina dan nista,
seolah mereka benar belaka,
bagai bayi dilahirkan tidak berdosa,
walhal lemas di lautan dosa,
yang datang menyelamat dianggap gila,
gara-gara dihijab hati mereka,
dari mendapat hidayat Yang Esa...

Menangislah,
kerana takut padaNya,
agar tahu kita masih punya air mata,
kurniaan tuhan yang amat berharga,
moga ia bisa menjadi pembela,
serta saksi di akhirat sana,
memelihara mata dari santapan neraka...

Menangislah,

bukan tanda kita lemah,
jauh sekali hendak mengalah,
yang hak tetap dijulang,
yang batil pastikan kalah...

Menangislah,

memang sudah fitrah wanita,
pabila perasaannya diganggu gugah,
memang Tuhan selalu menduga,
mungkin kita ada terleka,
lalai dari mengingatiNya,
atau Tuhan hanya sengaja,
rindu pada rintihan kita...

Menangislah,

moga bisa melerai duka,
yang tertanggung di dada,
Menangislah sahabatku,
usah ditahan dan dipendam,
agar bisa jadi penawar,
hati yang lara,
jua penebus dosa-dosa silam...


from: marjaat_85

SIIRU 'ALA BARAKATILLAH

Sunday, December 14, 2008

FRIENDSTER? MUSLIMAH BAGAIMANA?

Sekilas pandang tidak kelihatan yang menarik pada tajuk ini bukan? Terpulang pada setiap individu masing-masing. Tinta yang yang tidak berdakwat ini bak penari pena yang asyik mengalun bagi menghasilkan not irama. Artikel ditulis bagi satu penggerak juang dakwah namun penerimaan atau penghayataan tertakluk kepada kalian.

Masihkah kalian ingat tentang Ikhtilat. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari. Diri ini boleh dikatakan "culture shock" apabila tiba di dunia IPT. Mengapa penulis berkata sedemikian? Maaf kejutan budaya benar-benar berlaku terhadap diri penulis. Maklumlah pendidikan penulis semasa peringkat menengah berlatar belakangkan kaum adam sahaja. Namun demikian saban hari penulis belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan perempuan yang ajnabi. Sedar atau tidak sedar, pada semester pertama sewaktu menuntut di KUIS boleh kata penulis langsung tidak bertegur sapa dengan kawan sekelas penulis. Penulis maksudkan adalah kaum hawa. Bukan malu, namun keadaan sekeliling benar-benar berbeza seperti yang sebelum ini


Era globalisasi benar-benar memberi satu cabaran pada umat akhir zaman kini. Namun masih ada lagi yang tidak menyedari peredaran zaman yang begitu pesat membangun telah banyak menyesatkan remaja di negara kita khusunya. Wujudnya laman sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, Tagged dan sebagainya. Tidak salah selagi mana cara atau gaya pemikiran kita tidak menolak syariat Islam. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya isu apakah yang ingin penulis bawakan? Jangan mudah melatah. Tidak hairanlah jika remaja sekarang sangat arif dengan laman sosial sekarang.

Penulis menolak sama sekali laman sosial ini 100% peratus ke arah negatif. Bagi diri penulis laman sedemkian ada baik dan ada buruknya. Bagi yang baik, penulis sedikit sebanyak dapat menghubungi rakan-rakan lama yang sudah terpisah sejak beberapa tahun dahulu. Jadi penulis menganggap ia sebagai satu medium perantaraan yang boleh digunapakai sehingga hari ini. Namun wujudnya gejala yang tidak sihat telah berlaku.

Biarlah penulis fokuskan pada laman friendster sahaja sebab itu sahaja yang ada pada penulis. Pernah dengar istilah ’pompuan comey’, ’pompuan gediks’, ’pompuan bajet cun’, pompuan tangkap cair’. Inilah istilah yang digunapakai bagi menarik perhatian mana-mana lelaki sekarang. Percaya atau tidak bagi pendapat penulis sendiri, dari segi pemerhatian penulis sebanyak 90% kandungan gambar di laman friendster seakan-akan bertapa murahnya nilai harga diri seorang wanita. Opss! Mungkin ada yang tidak bersetuju. Apa kata kita guna sahaja istilah ’siapa makan cili dialah terasa pedasnya’. Lihatlah bagaimana gaya yang diklasifikasikan sebagai ’possing maut’oleh anak muda sekarang.

Kenapa tiba-tiba penulis bawakan isu ini?? Tiada isu lain ke?
Penulis tahu mungkin banyak persoalan timbul di pemikiran kalian. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun sayangnya, kalian terlupa bahawa gambar yang kalian posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka kalian terpampang rapi! Bagi yang memiliki kulit yang gebu pasti ia satu tarikan dan satu kebanggaan buat dirinya. Percaya atau tidak ia hanyalah sementara dan mungkin dengan gambar tersebut ia akan diakhiri dengan tangisi. Percaya atau tidak.
Renungkanlah bersama Allah s.w.t. ada berfirman dalam Al-Quran yang membawa maksud :

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka."(24:31)

Adakah ayat ini kurang jelas yang mana sudah termaktub dalam Al-Quran. Wahyu yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Jadi renung-renungkanlah wahai muslimah sekalian. Apakah kesannya jika kami meletakkan gambar sedemikian wahai penulis? Soalan yang mungkin bakal ditanya. Penulis katakan sekali lagi, tidak salah meletakkan gambar selagi mana gambar tersebut tidak menyebabkan timbulnya fitnah, timbulnya hawa nafsu syaitan dan sebagainya. Kaum hawa boleh menilai gambar tersebut walaupun di pihak lelaki sendiri boleh meng’irabkan gambar tersebut. Seharusnya di pihak perempuan sudah mengerti apakah gambar yang sesuai yang diyakini tidak menimbulkan fitnah.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah kalian yang dibanggakan itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu kalian. Mula memburu dengan SMS, telefon, mengantar e-mail hatta mungkin mendekati, dengan tujuan memiliki kalian. Apabila memikirkan sedemikian penulis teringat satu kisah yang bagi penulis ia satu perkara yang lucu. Ada satu lama friendster kepunyaan seorang wanita dan shout out dia berbunyi seperti ini :
”Kepada sesiapa yang giler seks tak dibenarkan add aku, x kisahlah laki or prmpuan”

Kenapa penulis katakan kenyataan ini begitu lucu? Sebabnya bila penulis lihat satu persatu gambar di friendster beliau. Alahai gambar dengan pakaian ketat lagi sendat dengan lengan pendeknya. Ditambah dengan gaya ayunya. Konon-kononlah tu. Penulis malas nak ulas sebenarnya. Muslimah, renungkanlah kisah ini. Lelaki ini hatta beriman pun boleh tersungkur andainya ia berlaku.

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin tidak terniat, wajah kalian terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Illustrator, Fireworks dan seribu satu pereka grafik yang pakar dalam bidang mengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan kaum hawa sekalian, tanggung sendirilah. Tapi kalau niat kalian cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran penulis, hati-hatilah!Maaf sekiranya huraian penulis terlalu panjang lebar tetapi ia sekadar memberi peringatan kepada muslimah yang disayangi sekalian. Muslimah! Ayuh Bangkit!


copied from :-
http://sinarinspirasikuu.blogspot.com/2008/12/friendster-muslimah-bagaimana.html

Thursday, December 11, 2008

DIALOG CINTA


Ikuti dialog oleh satu pasangan yang ditangkap khalwat oleh seorang Ustaz. Kisah benar atau tidak, wallahualam. Hayatilah intisari dialog ini, dan muhasabahlah diri kita masing-masing..

*********************************************************************************


Pelajar: Kami tidak berzina!

Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum adakah itu menghampiri zina?

Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Ustaz: Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya Amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasullullah S.A.W: Janganlah engkau bersendirian dangan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Pelajar: Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!

Ustaz: Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?

Ustaz: Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan (berpegang-pegangan), ada zina mata (melihat kekasihnya dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Ustaz: Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi. Jangan berselindung di sebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?

Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.

Ustaz: Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun, carilah study group ramai- ramai sedikit. Kalau duduk berdua-dua macam ini.. betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Ustaz: Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Ustaz: Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?

Ustaz: Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang untuk membunuh naluri dan keinginan itu. Tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Manusia tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.

Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam

Ustaz:
Cinta secara Islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentulah ia digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum kahwin, ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah (Ibni Majah) Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.


Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?

Ustaz: Ya kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian aturkan pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Ustaz: Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya diri menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.

Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Ustaz: Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan jangan hampiri pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim (Al-A'araf: ayat 19). Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah, takut nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Pelajar: Tetapi cinta lepas kawin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.

Ustaz: Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kawin bila merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat 5 minit dah kena tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan yang hipokrit.

Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti.

Ustaz: Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?

Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? ganti bercinta.

Ustaz: Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik, abang, kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dalam budaya "angkat" ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.

Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Ustaz: Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak ditentukan oleh Allah.

Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Ustaz: Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman. (Surah an-Nur: Ayat 3).Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.

Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?

Ustaz: Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.

Ustaz: Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Pelajar: Jadi perempuan yang bercinta jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?

Ustaz: Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang 'second hand' sedangkan barang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta di show room; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas air sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Pelajar: Masihkan ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ustaz: Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab: ayat 35)

Pelajar: Bagaimana kami?

Ustaz: Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha.

Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi3 syarat:
1. Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini
2. Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3. Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami.

Pelajar: Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh Tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb. Moga Allah terima taubatmu.

Pelajar: Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh tidak ke mana.

Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka.

Friday, December 5, 2008

Kak Ngah, Selamat Hari Lahir.. Kami Merinduimu


Sahabat,

Pertemuan telah ditakdirkan, antara kita tidak pernah dirancangkan, manalah takdir hendak dilawan, semuanya ketentuan Tuhan

Wahai sahabat sematkan semua kenangan, yang telah bersama-sama kita lalui, suka dan duka memburu impian, moga teguhnya ikatan ini

Sahabat yang amatku kasihi, susah senang kau di sampingku, kehadiran dikau di sisi, mengubat sepi di hatiku,

Sahabat yang amatku cintai, susah senang kau di sampingku, walau kini hilang di mata, namun kau tetap di hatiku

Sahabat, bertuahnya ku rasa mendapat teman sepertimu, mendidik menasihatiku, hanya satu dalam beribu

Namun kini hanyalah tinggal kenangan, pertemuan kita dilamar perpisahan, kemesraan memekar di akhir perkenalan, sayu menitiskan air mataku...
(Kak Ngah, Selamat Hari Lahir yang ke-22 pada 3 Dec 2008. Kenangan 3 Dec begitu bermakna buat kita semua dalam PMKIAS 06/07. Semoga apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan. Kami sentiasa mendoakanmu- Dari Kak Long & Kak Anjang di Aceh) =)

Thursday, December 4, 2008

HIKAYAT SI ALIM

Pada mulanya suami isteri itu hidup dalam tenteram meskipun melarat. Mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan dia melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Dia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya heran, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih heran lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.

Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu."

"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang saja."

"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.

"Akan saya teruskan!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus."

Keesokkan harinya, suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.

"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.

"Berhenti, jangan lanjutkan."

"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang."

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh heran, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahwa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesia-siaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama.

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."