Monday, February 16, 2009

Hamas lahirkan 15,000 kanak-kanak tahfiz



Subhanallah!!!terpegun rasanya melihat semangat HAMAS yang tak pernah jemu berjuang bukan sahaja di medan peperangan malah….

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - "Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran."
Demikian antara petikan kata-kata pemimpin Hamas Sami Abu Zuhri yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia itu daripada rejim Zionis Israel.
Beliau dengan tegas mengulangi pendirian Hamas yang tidak akan menerima sebarang syarat yang dikenakan oleh Israel bagi melakukan gencatan senjata di Palestin sedangkan sudah berpuluh tahun rejim itu mengganasi penduduk sehingga orang awam yang tidak berdosa terbunuh.
Katanya Hamas cukup dibenci dan digeruni oleh Israel kerana sentiasa berjuang untuk menegakkan dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup.
"Agenda Israel adalah menghancurkan umat Islam di sini daripada segala segi seperti pendidikan, ekonomi dan pentadbiran dan paling utama cuba hancurkan agama Islam itu sendiri," katanya berbahasa Arab.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Rayuan Gaza dan pemberian sumbangan dana Tabung Kemanusiaan Harakah yang dianjurkan Harakah di Hotel Putra, Kuala Lumpur tengah hari tadi. Beliau kini dalam lawatan bertemu pemimpin Islam seperti PAS dan NGO Islam yang lain selain memberi ceramah kepada para mahasiswa di Malaysia.
Turut Hadir dalam Majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Parlimen PAS Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali.
Selain itu, majlis turut dihadiri para penyumbang dana terdiri daripada NGO Islam, pemimpin PAS kawasan, Kelab Penyokong PAS, Kijang Care dan individu-individu, tidak terkecuali lapisan masyarakat bukan Islam yang turut bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin.
Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu Sami turut mengulas keputusan pilihan raya Israel diantara tiga parti iaitu 'Kadima', 'Likud' dan 'Yisrael Beitena' yang disifatkan akan terus dengan dasar memusnahkan dan bertindak kejam kepada penduduk Palestin.
Dilaporkan pilihan raya Israel menunjukkan, parti Kadima yang dipimpin oleh Tzipi Livni mengungguli parti Likud, parti yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu manakala Beitena menempati posisi ketiga kemudian disusuli dengan Parti Buruh.
"Bertukar wajah tidak memberi apa-apa makna. Semua Israel adalah penjenayah. (Changes faces does not mean anything. All Israel are criminal)," katanya yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa Hamas, Eman Hassan
Beliau sambil itu menyelar kumpulan Fatah yang sedang mengadakan perbincangan dengan Hamas di Kaherah kerana telah memenjarakan ratusan pejuang-pejuang Hamas di penjara Mahmood Abbas di Palestin yang dianggap tindakan Fatah sebagai mengkhianati perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.
"Mereka mesti membebaskan semua pejuang kami yang telah diseksa dan didera di penjara itu. Semalam salah seorang pejuang kami telah terbunuh di penjara itu kerana diseksa," kata Sami kepada para wartawan yang hadir.
Beliau juga mahu dan menggesa seluruh masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia mengheret Isreal kemuka pengadilan dan menghentikan serta merta kezaliman yang dilakukan selama puluhan tahun.
Sungguhpun Hamas tidak begitu optimis dengan pentadbiran Presiden Amerika yang baru Barrack Obama namun berharap pemimpin itu dapat menjernihkan suasana konflik yang berlaku sekaligus menukar polisinya terhadap Palestin. "Hamas bersedia untuk mengadakan dialog dengannya," katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Harakah dan rakyat Malaysia, Sami yang merupakan jurucakap rasmi Hamas menyeru supaya rakyat Malaysia tidak 'tersalah' menyumbang derma kepada pihak-pihak atau agensi yang tidak betul kerana khuatir sumbangan itu tidak sampai kepada penduduk Palestin. Beliau menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Harakah berjumlah RM500,000 manakala daripada pelbagai NGO, individu dan PAS kawasan berjumlah lebih RM400,000.00 yang turut disampaikan dalam majlis yang sama.
"Kami seru supaya serahkan dana kepada agensi yang beramanah dan bertanggungjawab atau anda datang terus ke Gaza, untuk sampaikan sendiri kepada penduduk di sana," katanya yang juga merupakan seorang pensyarah daripada Universiti Islam Palestin.
Beliau sedang menyiapkan tesisnya di Damsyik dalam pengajian sejarah Pejuang Salahuddin Al-Ayubi. Bagaimanapun Universiti tersebut telah musnah akibat serangan jahat Israel baru-baru yang turut mengorbankan lebih 1,3000 penduduk Gaza. - Sikap inilah yang perlu kita contohi dalam memperjuangkan agama Allah dan menjadikan ISLAM sebagai manhajul Hayah…

Wednesday, February 11, 2009

muhasabah para daie

Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata, "Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.."

"Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya.

"Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila. "Tetapi betina.. menjualnya.."

Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan.

Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya.

Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan.

Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut.

"Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin.

"Oh, itu salah besar.."

"Jadi.. kanda pun salah jugalah," balas Puspawangi.

"Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.."

Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka.

Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik.

Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya.

Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan, VVIP yang tidak boleh disentuh oleh polis kerana bapa mereka adalah orang terhormat.

Demikianlah.. seorang menteri dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah menteri.

Makna maruah
Dalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu.

Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya!

Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis.

Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah?

Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa.

Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan.

Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik.

Wanita itu bagaikan cermin
Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya.

Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki.

Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa.

Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya.

Pemerintahan yang bermaruah
"Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah.

Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran dari hal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian.