Tuesday, December 30, 2008

SAYA MAAFKAN KAMU..


BERHIJRAHLAH DENGAN AKHLAKMU !!

Hari ini saya rasa amat gembira kerana mendapat satu ilmu di dalam satu ceramah pekanan (maknanya mingguan dalam bahasa Indonesia). Ustaz, penceramah itu mengatakan bahawa akhlak itu ada empat peringkat. Setiap peringkat ada penjelasan dan contohnya. Mungkin sahabat-sahabat semua boleh menilai di peringkat manakah akhlak kita sebenarnya:-

Akhlak Razilah (tercela): akhlak yang buruk seperti mengumpat, menyebarkan fitnah, hasad dengki, khianat dan banyak lagi. Pada pandangan saya semua sahabat sudah sedia maklum akan sifat-sifat tercela golongan ini.

Akhlak Hasanah (Baik): ini adalah akhlak yang baik pada pandangan Islam iaitu taraf umum manusia biasa. Contohnya seseorang yang melakukan kejahatan terhadap kita, lalu kita pun balaslah kejahatan itu setimpal dengan perbuatan yang dia lakukan terhadap kita. Macam dalam hukuman balas (Qisas) itu. Orang pukul kita di tangan, kita balas balik kat tangan dia, macam dalam al-Quran kata kaki dengan kaki, telinga dengan telinga dan sebagainya.

Akhlak Karimah (Mulia): ini pula taraf dia tinggi sedikit dari peringkat Akhlak Hasanah tu. Maknanya orang yang bersifat dengan Akhlak yang Mulia ini adalah seorang yang pemaaf. Sebagai contoh kalau ada orang yang melukakan kita tak kiralah luka ‘dalaman’ atau ‘luaran’, kita dengan lapang hati memaafkannya, tidak bertindak balas macam orang yang peringkat Akhlak Hasanah tu. Kira macam ‘salamatus sadri’ jugaklah, iaitu tahap ukhwah paling rendah. Kalau tahap ukhwah paling tinggi akan mencapai ‘ithar’. Iaitu sanggup berkorban harta benda dan jiwa raga untuk sahabat. Tinggi tuh…

Akhlak ‘Azimah (Agung): inilah peringkat paling tinggi dalam berakhlak. Inilah juga dikatakan peringkat Akhlak Rasulullah SAW, bukan sahaja beliau memaafkan orang yang buat jahat/menzaliminya malahan memberi hadiah dan menziarahi mereka pula. Seumpamanya memberi hadiah dengan hati yang ikhlas kepada musuh yang begitu membenci diri kita. Inilah hikmahnya, musuh akan terus tertawan dengan kerendahan hati kita. Cubalah sahabat-sahabat fikirkan secara kontekstual (tersirat).

p/s: beberapa hari lepas ada seseorang menghantar SMS memohon maaf atas kesilapannya terhadap saya, lalu saya terfikir perlukah saya memaafkannya? Fikir punya fikir, alhamdulillah hidayat Allah swt datang menderu laju melalui lisan ust penceramah tersebut. Allah swt itu Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri hamba-Nya. InsyaAllah saya akan berusaha untuk Berakhlak Karimah iaitu akhlak seorang yang memaafkan.. Doakan saya. Saya Maafkan Kamu..

created by: marjaat_syuhada85@yahoo.com

Monday, December 29, 2008

DOA QUNUT NAZILAH


اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم
اللهم بَدِّد شَملَهُم و فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم
وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباًَ مِن كِلاَبِكَ
يا قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم
يا الله
يا الله
يا الله

اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ
إِهزِمهُم
إِهزِمهُم
إِهزِمهُم
وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkan-Mu

di batang-batang leher musuh-musuh kami,

Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya Allah, Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,

Pecah-belahkan dan kacau-bilaukan persatuan mereka,

Goncangkan pendirian mereka,

Dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka,

Wahai tuhan yang gagah perkasa,

Wahai tuhan yang penuh raksasa,

Wahai tuhan yang bersifat murka.

Ya Allah

Ya allah

Ya allah,

Wahai tuhan yang menurunkan kitab,

Wahai tuhan yang mengarakkan awan,

Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,

Kalahkan mereka

Kalahkan mereka

Kalahkan mereka

Dan menangkan kami ke atas mereka.

KEMERDEKAAN YANG PERLU DIPERJUANGKAN


Begitu pantasnya masa berlalu bagaikan angin yang bertiup hingga tidak terasa, bulan demi bulan menjelang, tahun demi tahun pun berlalu. Kini kita umat Islam kembali betemu dengan bulan Muharram, menandakan datangnya kembali tahun yang baru; kali ini memasuki Tahun Baru 1430 Hijrah. Tidak seperti ketika datang Tahun Baru Masehi yang disambut dengan penuh semarak oleh masyarakat, Tahun Baru Hijrah disikapi oleh kaum Muslim dengan 'dingin-dingin' saja.

Tahun Baru Hijrah memang tidak perlu disambut dengan kemeriahan pesta. Namun demikian, sangat penting jika tahun baru Hijrah dijadikan sebagai momentum untuk merenungkan kembali kondisi masyarakat kita saat ini. Peristiwa Hijrah Nabi SAW sebetulnya lebih menggambarkan momentum perubahan masyarakat ke arah perubahan secara individual. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW tidak lain merupakan peristiwa yang menandai perubahan masyarakat Jahiliah saat itu menjadi masyarakat Islam. Inilah sebetulnya makna terpenting dari Peristiwa Hijrah Nabi SAW.

Namun, kita harus juga mengakui, meskipun berbagai peringatan telah banyak dilakukan, belum terdapat perubahan yang signifikan dari masyarakat kita. Boleh dikatakan kehidupan umat Islam masih dalam keadaan mundur. Bahkan ada kecenderungan kembali ke masa Jahiliah.

Makna hijrah

Secara bahasa, hijrah bererti berpindah tempat. Adapun secara syar'i, para fukaha mendefinisikan hijrah sebagai: keluar dari darul kufur menuju darul Islam. Darul Islam dalam definisi ini adalah suatu wilayah (negara) yang menerapkan syariat Islam secara total dalam segala aspek kehidupan dan yang keamanannya berada di tangan kaum Muslim. Sebaliknya, darul kufur adalah wilayah (negara) yang tidak menerapkan syariat Islam dan keamanannya bukan di tangan kaum Muslim, sekalipun majoriti penduduknya beragama Islam. Definisi hijrah ini diambil dari fakta hijrah Nabi SAW sendiri dari Makkah (yang saat itu merupakan darul kufur) ke Madinah (yang kemudian menjadi darul Islam).

Peristiwa Hijrah memberikan makna sebagai berikut:

pemisah antara kebenaran dan kebatilan; antara Islam dan kekufuran; serta antara darul Islam dan darul kufur. Paling tidak, demikianlah menurut Umar bin al-Khaththab RA ketika dia menyatakan, ''Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dan kebatilan.'' (HR Ibn Hajar).

tonggak berdirinya daulah Islamiyah (negara Islam). Para ulama dan sejarawan Islam telah sepakat bahawa Madinah setelah Hijrah Nabi SAW telah berubah dari sekadar sebuah kota menjadi sebuah negara Islam. Bahkan dengan struktur yang menurut cendekiawan barat Robert N Bellah: ''Terlalu modern untuk ukuran zamannya. Saat itu Muhammad Rasulullah SAW sendiri yang menjawat sebagai ketua Negara”.

awal kebangkitan Islam dan kaum Muslim setelah 13 tahun sejak kelahirannya, Islam dan kaum Muslim terus dikucilkan dan ditindas secara zalim oleh orang-orang kafir Makkah.

Pengajaran dari peristiwa Hijrah Nabi SAW dalam Islahul Fardi wa Harakatul dakwah.


1. Wajib bagi setiap muslim untuk berusaha mengubah kemungkaran sedaya tenaganya. Sekiranya tidak mampu hendaklah meninggalkan tempat kemungkaran itu dan tidak berdiam di tempat kemungkaran/kemaksiatan tersebut. Allah tidak melihat kalah atau menang seseorang dalam menegakkan agamanya tetapi usahanya….

2. Betapa rapinya Nabi SAW dalam merancang dan membuat "program" dakwah, walaupun dakwah ini akan ditolong oleh Allah SAW (In tanshurullaha yanshurkum). Baginda SAW adalah seorang Nabi yang dijamin takkan dicelakai serta takkan dapat dikalahkan (wallahu ya'shimuka minan nas) akan tetapi Nabi SAW tetap menjalani semua sunnatullah dalam keberhasilan dakwahnya sebagaimana manusia biasa lainnya.

3. Rasulullah SAW sebagai seorang aktivis dakwah selalu kreatif dengan berusaha pelbagai inovasi baru dalam dakwahnya. Perancangan-perancangan yang baginda SAW lakukan ini nampak dari pemilihan berbagai tempat serta alasan-alasan yang amat relevan yang melatarbelakanginya.

4. Sebagai pemimpin (qiyadah), baginda SAW sangat memikirkan masyarakatnya. Segala cara baginda SAW usahakan agar para sahabatnya tidak disiksa dan diprovokasi oleh pihak lain. Baginda SAW pula yang paling akhir keluar dari Makkah setelah semua sahabatnya selamat.

5. Boleh bekerja sama dengan seorang fajir atau non muslim sekalipun, jika untuk kemaslahatan dakwah yang jelas, berdasarkan peristiwa Muth'im bin Ady.

Dengan ini saya mengajak pada semua pembaca agar kita renungkan dan belajar dari peristiwa Hijrah ini yang membawa mesej besar dalam kehidupan kita sebagai muslim samada kehidupan pada dirinya, keluarga dan masyarakat dalam kewajipan mengabdikan diri kepada Rabb. Sekiranya kehidupan kita masih bercopang-camping atau terdapat cacat celanya muhasabah diri dan pembaharuan harus dilakukan dari semasa ke semasa yang tidak perlu menunggu 1 Muharram untuk proses pembaikan. Inilah hijrah yang sebenar-benarnya perlu dilakukan oleh setiap Muslim dalam menjadikan Islam sebagai jalan dan gaya hidup. SALAM MA'AL HIJRAH...


from : nurul_humaira85@yahoo.com

Monday, December 22, 2008

MENANGISLAH...


Saya mendapat satu pesanan ringkas (SMS) dari seorang sahabat di Malaysia baru-baru ini. Ianya amat bermakna buat saya. Di sini saya paparkan untuk sahabat-sahabat sekalian moga-moga jadi pedoman..


Sahabatku,
Menangislah,
agar kita tahu hakikat diri yang hina,
perlu pada pencipta...

Menangislah,
Memang selamanya manusia akan mengata,
melempar cela, hina dan nista,
seolah mereka benar belaka,
bagai bayi dilahirkan tidak berdosa,
walhal lemas di lautan dosa,
yang datang menyelamat dianggap gila,
gara-gara dihijab hati mereka,
dari mendapat hidayat Yang Esa...

Menangislah,
kerana takut padaNya,
agar tahu kita masih punya air mata,
kurniaan tuhan yang amat berharga,
moga ia bisa menjadi pembela,
serta saksi di akhirat sana,
memelihara mata dari santapan neraka...

Menangislah,

bukan tanda kita lemah,
jauh sekali hendak mengalah,
yang hak tetap dijulang,
yang batil pastikan kalah...

Menangislah,

memang sudah fitrah wanita,
pabila perasaannya diganggu gugah,
memang Tuhan selalu menduga,
mungkin kita ada terleka,
lalai dari mengingatiNya,
atau Tuhan hanya sengaja,
rindu pada rintihan kita...

Menangislah,

moga bisa melerai duka,
yang tertanggung di dada,
Menangislah sahabatku,
usah ditahan dan dipendam,
agar bisa jadi penawar,
hati yang lara,
jua penebus dosa-dosa silam...


from: marjaat_85

SIIRU 'ALA BARAKATILLAH

Sunday, December 14, 2008

FRIENDSTER? MUSLIMAH BAGAIMANA?

Sekilas pandang tidak kelihatan yang menarik pada tajuk ini bukan? Terpulang pada setiap individu masing-masing. Tinta yang yang tidak berdakwat ini bak penari pena yang asyik mengalun bagi menghasilkan not irama. Artikel ditulis bagi satu penggerak juang dakwah namun penerimaan atau penghayataan tertakluk kepada kalian.

Masihkah kalian ingat tentang Ikhtilat. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi. Ia merupakan suatu bentuk pergaulan yang ditegah oleh Islam. Sesungguhnya mengambil mudah persoalan ikhtilat boleh membuka ruang maksiat yang berleluasa dalam masyarakat tanpa kita sedari. Diri ini boleh dikatakan "culture shock" apabila tiba di dunia IPT. Mengapa penulis berkata sedemikian? Maaf kejutan budaya benar-benar berlaku terhadap diri penulis. Maklumlah pendidikan penulis semasa peringkat menengah berlatar belakangkan kaum adam sahaja. Namun demikian saban hari penulis belajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan perempuan yang ajnabi. Sedar atau tidak sedar, pada semester pertama sewaktu menuntut di KUIS boleh kata penulis langsung tidak bertegur sapa dengan kawan sekelas penulis. Penulis maksudkan adalah kaum hawa. Bukan malu, namun keadaan sekeliling benar-benar berbeza seperti yang sebelum ini


Era globalisasi benar-benar memberi satu cabaran pada umat akhir zaman kini. Namun masih ada lagi yang tidak menyedari peredaran zaman yang begitu pesat membangun telah banyak menyesatkan remaja di negara kita khusunya. Wujudnya laman sosial seperti Friendster, Myspace, Facebook, Tagged dan sebagainya. Tidak salah selagi mana cara atau gaya pemikiran kita tidak menolak syariat Islam. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya isu apakah yang ingin penulis bawakan? Jangan mudah melatah. Tidak hairanlah jika remaja sekarang sangat arif dengan laman sosial sekarang.

Penulis menolak sama sekali laman sosial ini 100% peratus ke arah negatif. Bagi diri penulis laman sedemkian ada baik dan ada buruknya. Bagi yang baik, penulis sedikit sebanyak dapat menghubungi rakan-rakan lama yang sudah terpisah sejak beberapa tahun dahulu. Jadi penulis menganggap ia sebagai satu medium perantaraan yang boleh digunapakai sehingga hari ini. Namun wujudnya gejala yang tidak sihat telah berlaku.

Biarlah penulis fokuskan pada laman friendster sahaja sebab itu sahaja yang ada pada penulis. Pernah dengar istilah ’pompuan comey’, ’pompuan gediks’, ’pompuan bajet cun’, pompuan tangkap cair’. Inilah istilah yang digunapakai bagi menarik perhatian mana-mana lelaki sekarang. Percaya atau tidak bagi pendapat penulis sendiri, dari segi pemerhatian penulis sebanyak 90% kandungan gambar di laman friendster seakan-akan bertapa murahnya nilai harga diri seorang wanita. Opss! Mungkin ada yang tidak bersetuju. Apa kata kita guna sahaja istilah ’siapa makan cili dialah terasa pedasnya’. Lihatlah bagaimana gaya yang diklasifikasikan sebagai ’possing maut’oleh anak muda sekarang.

Kenapa tiba-tiba penulis bawakan isu ini?? Tiada isu lain ke?
Penulis tahu mungkin banyak persoalan timbul di pemikiran kalian. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian, namun sayangnya, kalian terlupa bahawa gambar yang kalian posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka kalian terpampang rapi! Bagi yang memiliki kulit yang gebu pasti ia satu tarikan dan satu kebanggaan buat dirinya. Percaya atau tidak ia hanyalah sementara dan mungkin dengan gambar tersebut ia akan diakhiri dengan tangisi. Percaya atau tidak.
Renungkanlah bersama Allah s.w.t. ada berfirman dalam Al-Quran yang membawa maksud :

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki dari orang-orang beriman supaya menahan pandangan mereka serta menjaga kehormatan mereka dan katakanlah kepada perempuan-perempuan dari orang-orang yang beriman supaya menahan penglihatan mereka serta menjaga kehormatan mereka."(24:31)

Adakah ayat ini kurang jelas yang mana sudah termaktub dalam Al-Quran. Wahyu yang diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Jadi renung-renungkanlah wahai muslimah sekalian. Apakah kesannya jika kami meletakkan gambar sedemikian wahai penulis? Soalan yang mungkin bakal ditanya. Penulis katakan sekali lagi, tidak salah meletakkan gambar selagi mana gambar tersebut tidak menyebabkan timbulnya fitnah, timbulnya hawa nafsu syaitan dan sebagainya. Kaum hawa boleh menilai gambar tersebut walaupun di pihak lelaki sendiri boleh meng’irabkan gambar tersebut. Seharusnya di pihak perempuan sudah mengerti apakah gambar yang sesuai yang diyakini tidak menimbulkan fitnah.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah kalian yang dibanggakan itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu kalian. Mula memburu dengan SMS, telefon, mengantar e-mail hatta mungkin mendekati, dengan tujuan memiliki kalian. Apabila memikirkan sedemikian penulis teringat satu kisah yang bagi penulis ia satu perkara yang lucu. Ada satu lama friendster kepunyaan seorang wanita dan shout out dia berbunyi seperti ini :
”Kepada sesiapa yang giler seks tak dibenarkan add aku, x kisahlah laki or prmpuan”

Kenapa penulis katakan kenyataan ini begitu lucu? Sebabnya bila penulis lihat satu persatu gambar di friendster beliau. Alahai gambar dengan pakaian ketat lagi sendat dengan lengan pendeknya. Ditambah dengan gaya ayunya. Konon-kononlah tu. Penulis malas nak ulas sebenarnya. Muslimah, renungkanlah kisah ini. Lelaki ini hatta beriman pun boleh tersungkur andainya ia berlaku.

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin tidak terniat, wajah kalian terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Illustrator, Fireworks dan seribu satu pereka grafik yang pakar dalam bidang mengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan kaum hawa sekalian, tanggung sendirilah. Tapi kalau niat kalian cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran penulis, hati-hatilah!Maaf sekiranya huraian penulis terlalu panjang lebar tetapi ia sekadar memberi peringatan kepada muslimah yang disayangi sekalian. Muslimah! Ayuh Bangkit!


copied from :-
http://sinarinspirasikuu.blogspot.com/2008/12/friendster-muslimah-bagaimana.html

Thursday, December 11, 2008

DIALOG CINTA


Ikuti dialog oleh satu pasangan yang ditangkap khalwat oleh seorang Ustaz. Kisah benar atau tidak, wallahualam. Hayatilah intisari dialog ini, dan muhasabahlah diri kita masing-masing..

*********************************************************************************


Pelajar: Kami tidak berzina!

Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum adakah itu menghampiri zina?

Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Ustaz: Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya Amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasullullah S.A.W: Janganlah engkau bersendirian dangan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan (Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Pelajar: Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!

Ustaz: Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu pun zina juga ke?

Ustaz: Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan (berpegang-pegangan), ada zina mata (melihat kekasihnya dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Ustaz: Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi. Jangan berselindung di sebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?

Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.

Ustaz: Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun, carilah study group ramai- ramai sedikit. Kalau duduk berdua-dua macam ini.. betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Ustaz: Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Ustaz: Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?

Ustaz: Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang untuk membunuh naluri dan keinginan itu. Tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Manusia tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.

Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam

Ustaz:
Cinta secara Islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentulah ia digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum kahwin, ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah (Ibni Majah) Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.


Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?

Ustaz: Ya kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian aturkan pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Ustaz: Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya diri menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.

Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Ustaz: Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan jangan hampiri pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim (Al-A'araf: ayat 19). Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah, takut nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Pelajar: Tetapi cinta lepas kawin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.

Ustaz: Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kawin bila merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat 5 minit dah kena tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan yang hipokrit.

Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti.

Ustaz: Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?

Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? ganti bercinta.

Ustaz: Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik, abang, kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dalam budaya "angkat" ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.

Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Ustaz: Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak ditentukan oleh Allah.

Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Ustaz: Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman. (Surah an-Nur: Ayat 3).Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.

Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?

Ustaz: Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.

Ustaz: Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Pelajar: Jadi perempuan yang bercinta jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?

Ustaz: Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang 'second hand' sedangkan barang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta di show room; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas air sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Pelajar: Masihkan ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ustaz: Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (Al-Ahzab: ayat 35)

Pelajar: Bagaimana kami?

Ustaz: Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha.

Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi3 syarat:
1. Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini
2. Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3. Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami.

Pelajar: Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh Tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb. Moga Allah terima taubatmu.

Pelajar: Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh tidak ke mana.

Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka.

Friday, December 5, 2008

Kak Ngah, Selamat Hari Lahir.. Kami Merinduimu


Sahabat,

Pertemuan telah ditakdirkan, antara kita tidak pernah dirancangkan, manalah takdir hendak dilawan, semuanya ketentuan Tuhan

Wahai sahabat sematkan semua kenangan, yang telah bersama-sama kita lalui, suka dan duka memburu impian, moga teguhnya ikatan ini

Sahabat yang amatku kasihi, susah senang kau di sampingku, kehadiran dikau di sisi, mengubat sepi di hatiku,

Sahabat yang amatku cintai, susah senang kau di sampingku, walau kini hilang di mata, namun kau tetap di hatiku

Sahabat, bertuahnya ku rasa mendapat teman sepertimu, mendidik menasihatiku, hanya satu dalam beribu

Namun kini hanyalah tinggal kenangan, pertemuan kita dilamar perpisahan, kemesraan memekar di akhir perkenalan, sayu menitiskan air mataku...
(Kak Ngah, Selamat Hari Lahir yang ke-22 pada 3 Dec 2008. Kenangan 3 Dec begitu bermakna buat kita semua dalam PMKIAS 06/07. Semoga apa yang dicita-citakan menjadi kenyataan. Kami sentiasa mendoakanmu- Dari Kak Long & Kak Anjang di Aceh) =)

Thursday, December 4, 2008

HIKAYAT SI ALIM

Pada mulanya suami isteri itu hidup dalam tenteram meskipun melarat. Mereka taat kepada perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup.

Pada suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan dia melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Dia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.

"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya heran, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih heran lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis yang menyerupai sebagai manusia.

"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis.

Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah. Saya sudah berjanji kepada Allah akan menebang roboh pohon syirik itu."

"Kamu tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang saja."

"Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis marah.

"Akan saya teruskan!"

Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis. Kalau melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakitan dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"

Mendengar janji iblis dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan saja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.

Demikianlah, semenjak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.

Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus."

Keesokkan harinya, suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya kosong.

"Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak, tebanglah pohon itu."
"Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si alim itu.

Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah jalan iblis yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.

"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.

"Berhenti, jangan lanjutkan."

"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang."

Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim tadi bertanya penuh heran, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"

Iblis itu dengan angkuh menjawab, "Tentu saja engkau dahulu boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak mungkin kamu mampu menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti batang lehermu."

Mendengar penjelasan iblis ini si alim tadi termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahwa perjuangannya yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah, dan ia sedar perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesia-siaan yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah dan agama.

"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah iman."

Saturday, November 29, 2008

Permulaan-mu Wahai Yang Membenarkan...

Abu Qahafah tawaf di Baitullah. Kelembutan, kebahagiaan dan kedamaian terpancar dari wajahnya. Dia terpandang Abdul Muttalib yang sedang duduk di bawah lindungan Ka’abah dikelilingi oleh sahabat-sahabatnya serta sebahagian anak cucunya. Hamzah, anaknya yang masih kecil, berada di atas ribanya sambil bermain-main dengan janggut ayahnya itu. Menyedari kehadiran Abu Qahafah, ketua Quraisy itu terus menuju ke arahnya lantas menyambutnya dengan gembira.

Kegembirangan yang tergambar di wajah Abdul Muttalib sebenarnya membayangkan kegembiraan yang sememangnya ada pada dirinya. Abu Qahafah terkenangkan nasibnya. Dia terlalu ingin mempunyai anak tetapi keinginannya itu masih belum terkabul. Isterinya telah beberapa kali melahirkan anak sama ada lelaki atau perempuan, tetapi malangnya tiada seorang pun yang hidup.

Ketika itu Ka’abah dipenuhi oleh anak-anak dan budak-budak lelaki. Semua orang Quraisy mempunyai anak kecuali Abu Qahafah. Abdul Muttalib telah pun bercucu dan dapat bermain-main dengan mereka. Begitu juga Umaiyah. Walaupun telah hilang penglihatan, dia masih dapat mencium bau cucu-cucunya. Malah seorang daripada cucunya yang bernama Abu Sufian Bin Harb akan berkahwin tidak lama lagi. Sekiranya Allah masih memanjangkan umur Umaiyah dia akan sempat bertemu dengan cicitnya, cucu anaknya yang bernama Harb. Umaiyah akan bertawaf bersama cicitnya itu di Ka’abah. Ia adalah suatu impian mulia bagi setiap lelaki di Makkah. Abu Qahafah terfikir, dapatkah dia merasai keadaan seperti itu.

Uthman yang lebih dikenali dengan nama Abu Qahafah adalah daripada kabilah Tayim. Salasilah keturunannya bertemu dengan Bani Hasyim dan Bani Umaiyah melalui Ka’ab bin Lu’ai. Kabilah Tayim terkenal dengan sifat lemah lembut dan ramai penyair lahir daripada kalangan mereka. Kaum wanitanya dikenali dengan nama ‘Khazwah’ selepas berkahwin. Kabilah ini juga biasa berniaga tetapi perniagaan mereka tidaklah sebaik perniagaan yang dijalankan oleh Bani Hasyim dan Bani Umaiyah. Namun, ia cukup untuk mengukuhkan kabilah ini agar hidup mereka mulia walaupun tidak semewah orang kaya Quraisy yang lain.

Abu Qahafah sering duduk bersama-sama Abdul Muttalib dan Abdullah bin Jad’an dalam majlis yang mereka anjurkan. Dia menyertai majlis tersebut bukan kerana kefakirannya tetapi untuk menyertai jamuan dan untuk kegembiraan kaumnya. Majlis-majlis sebegitu merupakan keramaian di Makkah. Para ketua kaum berkumpul disitu untuk bertukar-tukar fikiran. Pada waktu itu jugalah biasanya disusun jadual kafilah-kafilah yang akan berangkat ke Basra, Manfun, San’a atau Hirah.

Abu Qahafah ingin hidup dalam ketenangan dan kedamaian. Walaupun hasratnya itu adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehinya, dia tidak terburu-buru mendapatkannya. Dia juga bukanlah seorang yang tamak. Dia ingin hidup dalam kesejahteraan dan berdoa agar Allah memberinya zuriat yang dapat memenuhi kekosongan hidupnya. Tidak pernah terlintas di kepalanya dan tidak pernah terbayang di khayalannya untuk melihat salah seorang anaknya nanti menjadi ketua orang Quraisy. Dia pun berasa hairan bagaimana impian seperti itu tidak wujud dalam dirinya. Dia seorang lelaki yang bijak dan waras. Tidakkah dia ingin melihat salah seorang anaknya menjadi orang yang paling mulia di Makkah seperti Bani Hasyim dan Bani Umaiyah?

Dia melihat persaingan antara Abdul Muttalib dengan Umaiyah serta anak Harb. Apabila Bani Hasyim mengadakan jamuan untuk orang ramai, maka Bani Umaiyah juga segera melakukan perkara yang sama. Apabila Abdul Muttalib menolong seorang fakir atau menziarahi seorang pesakit, Harb segera memberi bantuan dan berziarah. Malah apabila seorang penyair memuji ketua Bani Hasyim atau salah seorang daripada anak-anaknya, penyair-penyair lain cuba memikat dengan memuji Bani Umaiyah dan menonjolkan kemuliaan mereka. Hal yang seperti ini suatu perkara yang biasa berlaku kepada kebanyakan orang Makkah tetapi Abu Qahafah tidak mahu melibatkan dirinya dengan perbuatan seperti itu.

Suatu ketika Bani Tayyim telah bergabung dengan Bani Abdu Manaf. Ketika itu hampir-hampir berlaku peperangan antara mereka dengan kaum bapa saudara mereka, Abd al-Dar. Mereka bertelagah tentang urusan kain penutup Ka’abah dan bendera Quraisy. Lelaki Bani Tayyim telah mencelupkan tangan mereka ke dalam pasu besar berisi wangian sambil bersumpah dan berjanji untuk memerangi musuh mereka. Mereka bersumpah dengan wangian itu untuk berperang. Mujurlah orang ramai berjaya mendamaikan mereka. Kalaulah peperangan itu benar-benar meletus tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi. Namun, perasaan dendam dan hasad dengki tetap terpahat kukuh di sanubari mereka.

Di sebalik perdamaian itu rupa-rupanya Allah telah memberikan mereka kecenderungan kepada kesejahteraan, bukan kecenderungan kepada peperangan yang sia-sia. Allah mahu menjaga anak cucu mereka supaya dapat berperang dan menumpahkan darah untuk risalah yang paling agung yang diberikan kepada manusia iaitu risalah langit.

Abu Qahafah gemar bersama-sama Abdul Muttalib. Dia telah biasa dengan kehidupannya dan memahami tabiatnya. Abdul Muttalib tidak suka berpura-pura dan bermuka-muka kepada masyarakatnya. Abdul Muttalib terkenal dengan peribadinya yang mulia, bersegera untuk membuat kebaikan dengan ilham daripada hatinya. Beliau tidak melakukan perkara-perkara dianggap keji oleh undang-undang dan adat mereka. Beliau tidak pernah minum arak dan mengunjungi rumah pelacuran kerana perbuatan tersebut boleh mencacatkan kemuliaan dan kehormatannya. Inilah yang membezakan beliau dengan Bani Umaiyah. Kebaikan yang dikerjakan oleh Bani Umaiyah bukan lahir daripada jiwa mereka tetapi semata-mata kerana persaingan antara mereka untuk mendapat kebesaran dan kemuliaan.

Abu Qahafah terikat di antara pembesar kaumnya dan kepercayaan masyarakatnya. Menurut kepercayaan masyarakat Makkah, anak yang dilahirkan oleh seorang wanita tidak akan hidup jika wanita itu melintasi pusara seorang pembesar Makkah yang terbunuh dengan tipu muslihat. Tetapi sekiranya dia memijak pusara tersebut, anaknya akan hidup. Dia benar-benar berharap agar anaknya hidup. Tetapi dimanakah pusara pembesar itu? Beliau ingin menyuruh isterinya memijak pusara tersebut sebanyak tujuh kali agar semua anaknya hidup. Kedukaan di atas kematian anak-anaknya itu telah memberi petunjuk kepadanya.

Pada waktu petang ketika Abu Qahafah beredar pulang ke rumahnya dia berkata:

“Bergembiralah ketika mereka berkata tinggallah (‘Amru bin Murrah) di dalam pusara.”

Abu Qahafah segera pulang. Dia mahu menepati janjinya dengan tukang tilik yang akan menziarahinya. Tukang tilik itu akan membuat pendinding bagi isterinya untuk menghalau jin dalam kandungannya yang hampir lahir.

Abu Qahafah masuk menemui isterinya. Dia tenang dalam kedamaian yang wujud. Isterinya duduk seraya meletakkan kepalanya di antara kedua tapak tangannya. Di wajahnya tergambar rasa takut dan bimbang. Tentunya dia begitu bimbang kalau-kalau sesuatu yang buruk akan menimpa janin yang mulia dan dapat dirasakan gerakannya di dalam perutnya. Dia seolah-olah tidak sabar menunggu kedatangan tukang tilik yang akan menuliskan untuknya tangkal azimat untuk memulih bayi yang dikandung agar tidak mati seperti abang-abangnya sebelum ini.

Setelah sembilan bulan mengandung, isteri Abu Qahafah pergi ke Ka’abah. Dia mahu berdoa kepada semua tuhan yang ada supaya memanjangkan umur bayinya. Dalam perjalanan untuk memulakan tawaf dari Hajar Aswad, dia melihat beberapa orang kanak-kanak kecil yang diserahkan oleh kaum keluarga mereka untuk berkhidmat kepada BaitulLah. Terlintas di hatinya untuk menazarkan bayi yang dikandungnya itu kepada Ka’abah bagi mencari keredhaan tuhan. Dia mengusap-usap tangkal yang tergantung di lehernya namun kegelisahan yang bersarang di hatinya tetap tidak hilang. Malah setiap kali dia menyentuhnya, dia seolah-olah mendengar suara-suara yang menyeru agar anak yang dikandungnya itu diserahkan kepada BaitulLah.

“Ya Tuhan, aku menyerahkan kepadamu apa yang ada di dalam perutku. Panjangkanlah umurnya dan kekalkanlah dia bersamaku.” Doa isteri Abu Qahafah dengan cucuran air mata sambil menghadap ke Ka’abah.

Waktunya untuk bersalin semakin hampir. Wanita-wanita Bani Tayim datang menemuinya dengan wajah yang berseri-seri. Bibir mereka menguntum senyuman untuk memberikan semangat kepadanya walaupun di dada mereka terdapat kebimbangan. Mereka takut sekiranya bayi tersebut juga mati sebagaimana anak-anak sebelumnya. Seorang wanita daripada kaum keluarganya menghampiri Abu Qahafah.

“Sekiranya anak yang dilahirkan lelaki, apakah nama yang akan awak berikan?” Wanita itu bertanya.
“Abdul Ka’abah.” Abu Qahafah menjawab dengan nada yang agak serba salah.
“Kalau dia perempuan?”
Mendengar soalan wanita itu, wajahnya bertukar serta-merta. Muram. Kedukaan tergambar di wajahnya.
“Aku belum memikirkannya lagi…”jawab Abu Qahafah, acuh tak acuh.

Suara tangisan bayi kedengaran. Serta-merta Abu Qahafah bangun dari tempatnya. Dia mendongak ke langit. Dia berdoa kepada tuhannya semoga anaknya yang dilahirkannya itu seorang lelaki supaya dia dapat mewarisinya dan mewarisi keluarga Tayim. Perempuan itu pun segera bangun dan bergegas untuk memberitahu perkhabaran yang ditunggu-tunggu.

Abu Qahafah semakin tidak sabar menunggu. Perempuan itu datang dengan wajah yang memancarkan kegembiraan.
“Bayi itu lelaki! Bayi itu lelaki!” Wanita itu berkata dengan amat gembira.

Kegembiraan menyelubungi Abu Qahafah. Dia terlalu gembira. Dia tidak mampu untuk bertenang atau duduk tetap di situ sehinggalah dia diminta untuk masuk melihat anaknya. Hatinya gementar, dia terlalu suka dan gembira.

Dia merenung isterinya. Dia merenung bayi yang sedang tidur di sisinya. Rasa kasih dan sayang menyelubungi jiwanya. Dia berasa lemah untuk menarik rasa kasih sayang tersebut lantas dia mengucup dahi bayinya itu. Kucupan yang meninggalkan perasaan yang halus dalam jiwanya dan sudut hatinya.

Wajah isterinya yang layu kembali berseri. Bibirnya mengukir senyuman yang menawan. Dia berpaling ke arah bayi lelakinya yang dikasihi.

“Comelnya bayi ini, bukankah begitu?” Dia bersuara lagi.
“Ya, memang comel.” Abu Qahafah mengiakan sambil menganggukkan kepalanya.

Dia sungguh gembira dengan kelahiran anaknya itu, seolah-olah dia memperolehi sesuatu yang paling berharga.

Beberapa hari berlalu. Isteri Abu Qahafah gembira bersama bayinya. Namun, kebimbangan menjelma dihatinya. Memikirkam nasib yang menimpa anak-anaknya, bayi itu didakapnya ke dada seolah-olah dia menjaganya dari bahaya. Namun, dia sedar bahawa semua itu tidak mencukupi. Oleh itu dia membawanya ke Ka’abah lantas berdoa.

“Ya Allah, lepaskanlah hamba-Mu daripada kematian, lalu berikanlah dia kepadaku.”

Ketakutannya berkurangan sedikit demi sedikit. Jiwanya semakin damai, tenang dan aman. Harapan kembali tumbuh di hati yang sebelumnya sentiasa bimbang. Dia merenung wajah bayinya. Tiba-tiba wajahnya bercahaya dengan senyuman. Melihatkan keadaan itu, dia segera mendodoikan bayi itu. “Wahai yang merdeka, wahai yang merdeka … dan mempunyai rupa yang elok.”

Dia merasakan seolah-olah alam semuanya menyanyi riang, melebihi nyanyian setiap penyanyi Makkah. Nyanyian para penyanyi itu masuk dari telinga terus ke hati tetapi nyanyian alam yang didengarnya ini adalah dari satu roh ke satu roh dan dari hati yang wujud ke hati yang penuh kasih sayang.

Pada hari kelapan, Abu Qahafah membawa anaknya itu tawaf mengelilingi Ka’abah. Kemudian dia membawanya masuk ke dalam Ka’abah dan berdoa kepada Hubal agar memanjangkan umur anaknya. Dia berdoa dengan linangan air mata sehinggalah air matanya itu menitis ke atas bayi yang didakapnya dengan kasih mesra.

Abu Qahafah mengadakan kenduri untuk Bani Tayim. Para tetamu, lelaki dan perempuan datang meraikan kelahiran anaknya itu. “Siapa namanya?” Wanita-wanita itu bertanya kepada ibunya. “’Atiq”. Jawab si ibu sambil bibirnya menguntum senyuman yang manis.

Wajahnya bersinar dengan kegembiraan. Kaum lelaki juga bertanya kepada bapanya soalan yang sama. “Abdul Ka’abah.” Jawab Abu Qahafah dengan senang hati.

Masa berlalu dan bayi itu pun meningkat dewasa. Namun, dia tidak dikenali dengan nama ‘Atiq dan tidak juga dengan nama Abdul Ka’abah. Sebaliknya dikenali dengan nama Abu Bakar as-Siddiq.

p/s: Ka'abah pada masa itu masih dipenuhi dengan berhala-berhala. Begitu juga masyarakat Mekah masih diselubungi oleh kehidupan Jahiliah sebelum kedatangan Islam.

Monday, November 24, 2008

Ciri-ciri Pribadi Muslim Sejati

Kita tahu bahawa Islam itu bertolak daripada iman. Namun iman saja tidak mencukupi. Ia perlu juga ilmu dan amal. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal. Tanpa ketiga-tiga elemen ini, maka Islam tidak akan terlaksana pada pribadi seorang Muslim. Untuk mencapai tujuan ini, roh dan akal mesti berperanan. Disamping itu seseorang muslim perlu mendapat pimpinan. Ketiga-tiga pengaruh ini wajib ada. Kalau tidak pribadi Muslim itu akan jadi cacat dan tidak sempurna.

a) Roh berperanan dalam soal iman
Roh melibatkan soal kepercayaan dan keyakinan. Tentang akidah dan pegangan. Tentang keimanan kepada Tuhan dan hari Akhirat. Tentang rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Namun kalau peranan roh saja yang wujud tanpa ada peranan akal dan kepimpinan, maka seseorang itu akan menjadi fanatik. Dia akan menjadi taksub secara membuta. Perasaannya tidak seimbang dan sukar untuk dikawal. Dia ingin bertindak, beramal dan membuat sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana dan apa caranya. Pertimbangannya juga tidak seimbang dan berat sebelah. Dia akan menjadi orang yang berjiwa tetapi kaku. Dia mau bergerak tetapi tidak tahu bagaimana hendak menyusun langkah.

b) Akal berperanan dalam soal ilmu
Ia berkait dengan penyampaian dan penerimaan ilmu. Tentang ta’alim atau pengajian. Tentang pembelajaran. Peranan akal membuat seseorang itu menjadi alim dan bepengetahuan. Namun kalau peranan akal saja yang wujud dan peranan roh dan kepimpinan tidak ada, maka seseorang itu akan menjadi ahli ilmu yang tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Yang tidak ada cita-cita akhirat.
Ilmunya akan digunakan untuk dunia semata-mata. Ilmunya akan dijual dan dikomersialkan. Ilmunya akan ditukar menjadi duit dan harta kekayaan. Ilmunya hanya untuk bermujadalah (berdebat), berforum dan berseminar. Untuk mendapat pujian, uang , pangkat, jawatan dan nama. Ilmunya tidak memberi hasil pada pribadinya. Dia tidak dapat beramal dengan ilmunya, jauh sekali untuk memperjuangkannya. Dia akan menjadi orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya. Dia akan menjadi jumud dan beku. Walaupun dia tahu bagaimana hendak menyusun langkah, tetapi dia tidak mempunyai kemauan dan kekuatan dalaman untuk bergerak.

c) Peranan Kepimpinan melibatkan didikan, panduan dan contoh teladan
Tentang bagaimana ilmu itu dapat dan patut diamalkan. Tentang siapa yang patut dicontohi dalam mengamalkan ilmu. Tanpa ada pimpinan dari seorang pemimpin sebagai contoh atau model, sukar ilmu dapat difahami lebih-lebih lagi untuk diamalkan dan dihayati. Tanpa pimpinan, ilmu akan hanya tinggal ilmu. Itu sebabnya di dalam agama, dikirim Rasul yang diberi atau yang membawa kitab. Bukan kitab saja yang dihantar tanpa Rasul. Kalau kitab saja yang dihantar, maka tidak akan ada contoh atau role-model untuk diikuti. Tanpa contoh dan role-model, mustahil ilmu dapat difahami dan diamalkan.

Dalam hendak mengamalkan ilmu dan dalam hendak menjadi seorang muslim yang sempurna, contoh fisik atau kepimpinan sangat perlu. Semua bentuk peranan ini mesti ada. Tidak ada satu yang boleh ditolak. Barulah ia boleh lengkap melengkapkan. Peranan roh dan akal mesti bergabung dan contoh atau pimpinan mesti dicari. Inilah ramuan-ramuan yang perlu untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Kalau ramuan ini tidak cukup, usaha untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna akan menjadi sia-sia. Lebih-lebih lagilah untuk menjadi seorang yang Mukmin yang bertaqwa. Sebab orang Mukmin yang bertaqwa itu, mesti sempurna Islamnya terlebih dahulu.

Pembangunan Jiwa Membuahkan Akhlak Yang Mulia
Membangun jiwa (roh) artinya membersihkannya dari pada sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat batin yang terkeji) seperti bakhil, sombong, tamak, cinta dunia, hasad dengki, adu domba dan lain-lain, dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat batin yang terpuji) seperti pemurah, pemalu, sabar, kasih sayang, cinta akhirat dan lain-lain. Siapa yang berhasil membersihkan hatinya (roh) maka dialah orang yang mendapat kemenangan, iaitu orang yang memperoleh Syurga di Akhirat kelak. Ada jelas sekali Allah menyebutkan didalam Al Quran, di antara firman Allah itu ialah:

Artinya:"Sesungguhnya akan mendapat kemenanganlah barang siapa yang membersihkan (hati/roh/nafsu)nya dan kecewalah siapa yang mengotorinya”.
(As Syams: 9-10)

Orang yang jiwanya bersih dari sifat-sifat mazmumah, orang inilah yang akan dapat membangunkan dunia baik dalam bidang ekonomi, politik, pembangunan, sains dan teknologi, pengaturan bersih dari kemungkaran dan gejala masyarakat yang negative, dan dapat menjadikan dunia ini sebagai jambatan ke Akhirat. seperti Rasulullah SAW pernah bersabda:
Mafhumnya: "Dunia itu adalah merupakan tanam-tanaman untuk Akhirat."

Maksudnya segala usaha, pembangunan, kemajuan dan peradaban yang dibina di dunia ini seolah-olah ladang dan pertanian, yang akan di panen atau didapatkan hasilnya di Akhirat. Di sanalah nanti akan mendapatkan pahalanya, iaitu Syurga. Pembangunan dan kemajuan serta peradaban yang dibangunkan oleh orang yang jiwanya bersih ialah pembangunan yang selamat dan menyelamatkan, tidak ada effek sampingannya seperti gejala-gejala masyarakat yang tidak sehat, tidak mudarat dan tidak pula memudaratkan.
Membangun jiwa manusia agar jiwa bersih daripada sifat-sifat mazmumah, maka dari kebersihan jiwa itulah akan membuahkan akhlak yang mulia. Perlu di ingat, membangun jiwa untuk membuahkan akhlak tidak semudah yang kita sangka. Manusia tidak cukup diberi hanya ilmu atau pelajaran semata-mata, Tetapi harus juga ditanamkan melalui pendidikan dan asuhan, supaya ilmu itu dapat dihayati serta dapat diterapkan di dalam akal, jiwa, sikap dan perbuatan hingga mendarah-daging, menjadi tabiat, sikap dan watak yang akhirnya menjadi budaya di dalam kehidupan.

Thursday, November 20, 2008

BATAL MOU, PM DIGESA SIASAT KEDUTAAN

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Hrkh) -Pemuda PAS Pusat mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar menjalankan siasatan terhadap Kedutaan Besar Malaysia di Mesir yang gagal mengambil tindakan menyampaikan surat rayuan pembatalan MoU bersama Universiti Al-Azhar.

Dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Yaakob yang berjanji akan membawakannya kepada Abdullah.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Azman Shapawi berkata pihaknya menggesa Perdana Menteri menyemak kembali integriti Kedutaan Malaysia di Mesir setelah difahamkan terdapat surat yang dihantar Abdullah bagi menarik semula keputusan pembatalan perjanjian kerajaan Malaysia dengan universiti tertua di dunia itu.

"Ia merupakan harapan semua IPT yang dibatalkan MoUnya agar disambung semula, kerana ia adalah masa depan pendidikan Islam secara amnya di Malaysia," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, berdasarkan maklumat yang diterima Azman, pihak kedutaan tidak menjalankan peranan dan tanggungjawab yang diberikan Abdullah dengan tidak menyerahkan surat tersebut kepada pihak Al-Azhar.

"Setakat ini, kami mendapat maklumat bahawa pihak kedutaan tidak mengambil sebarang tindakan yakni tidak menyerahkan surat tersebut kepada kedutaan Malaysia di Kaherah.

Pihaknya juga curiga dengan keengganan Kedutaan Malaysia Mesir yang diketuai oleh Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir dalam mempermudahkan urusan penghantaran pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Mesir.

"Kita mendapat maklumat yang sahih mengenai tindakan pihak kedutaan mendedahkan sikap mereka yang tidak membantu proses muadalah ini diteruskan - tetapi ianya tidak dapat disebarkan atas sebab keselamatan.

"Ini secara tidak langsung akan mengorbankan masa depan pelajar pengajian Islam yang ingin melanjutkan pengajian di sana malah peruntukan pendidikan yang diperolehi juga tidak setanding dengan pelajar jurusan lain," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelajar jurusan selain pengajian Islam tidak menghadapi tekanan mengenai kemasukan ke universiti tersebut.

"Yang hairannya, hanya pelajar yang menuntut jurusan pengajian Islam sahaja yang terpaksa berdepan dengan kerenah dan masalah seumpama ini. seddangkan pelajar perubatan dan lain-lain tidak pula menghadapinya," katanya lagi.

Menurutnya juga, sebelum ini Pemuda PAS telah mengambil inisiatif dengan menghantar wakil mereka bertemu pihak pengurusan Universiti Al-Azhar bagi memperhalusi isu sebenar di sebalik pembatalan MoU tersebut.

Memorandum mendesak kerajaan Malaysia campurtangan terhadap isu penarikan keputusan pembatalan MoU oleh Universiti Al-Azhar tersebut diserahkan rombongan pemuda PAS pada 20 November lalu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Ia ditandatangani oleh kira-kira 25 organisasi mahasiswa dan Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat dengan program muadalah ini.

Turut serta mengikuti majlis serahan tersebut Setiausaha Pemuda, Ahmad Sabki Yusuf; Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamarulzaman Mohamed dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Helmyzan. - mks._


sumber:

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=18005&Itemid=1

http://misteraim.blogspot.com/2008/11/mahasiswa-selar-kedutaan-malaysia-mesir.html




PERMATA AYAH BONDA


Mewangi kuntuman bahagia, di halaman ayah serta bonda,menatang selaut cahaya
Melerai resah dan gundah di jiwa, segunung impian dicita, selangit harapan didamba
Dibelai dimanja mesra, kaulah racun kau penawar, senyuman dan tangisanmu
Pengubat duka dan lara

Engkau,
Umpama sebutir permata, di perlubukan kasihnya, bersinar, bercahaya
Hiasi rumah tangga

Engkau,
Harapan seisi keluarga, panjatkan doa dan airmata
Yang pasrah kepada yang Esa, kepadamu tercurah
Kasih sayang dan pengorbanan, agar terus gemilang
Dididik diasuh tiap masa, diajarkan ilmu yang berguna
Mengenal Allah dan Rasul, menyemai, menyubur iman di dada
Dilayur segala kekerasan, dilentur dengan kelembutan
Dititip seuntai madah, hidupmu mula dan berakhir
Menyusul fitrah dan sunnah, bernoktah di penghujungnya


Tiada,
Yang lebih membahagiakan, melihat dirimu kian membesar, dewasa di dalam sejahtera

Usah,
Terpesona pujukan dunia, yang hanya menyilau pandangan
Memukau dengan keindahannya, nasihat ayah bonda
Agar engkau lebih bersedia, untuk menghadapinya
Bersemi kelopak kasih sayang, di persada cinta yang sejati
Titisan susu ibunda, menyegarkan, menghapuskan dahaga
Renjisan keringat dari ayahanda, menyubur pohon kehidupan
Tua yang sebidang tabah, buatmu doa dan harapan
Jadilah insan yang mulia, membela di hari tua

Waktu,
Bisa merubah segalanya, dewasalah dalam rahmat dan kasih Ilahi, redahi pancaroba

Andai,
Langkahmu tersasar ke simpangan, pulanglah ke laman ayah bonda
Kembali menghuni di tamannya, bersamalah semula
Menghidup embunan kasih sayang, sedingin air mata bonda
Engkaulah permata ayah bonda…

ZAINAB AL GHAZALI AL JUBAILI (2)


KISAHNYA BERMULA ....

Telah berlaku suatu peristiwa di dalam abad ini ke atas seorang wanita Mesir yang bergerak di dalam harakah Islamiah di Mesir yang dapat dijadikan tauladan.

Semasa perkahwinan akan dijalankan di antaranya dengan suaminya, Zainab Ghazali telah mengenakan syarat supaya suaminya membenarkannya untuk bergiat di dalam harakah Islamnya. Katanya, "Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya."

Dia memperingatkan suaminya lagi, "Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah S.W.T. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T."

Apakah kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh Zainab Ghazali dan rakan-rakannya untuk Harakah Islamiah? Contoh seorang Muslimah Abad 20 ZAINAB AL-GHAZALI AL-ZUBAILI nama penuhnya. Dia dilahirkan di sekitar tahun 1917, di awal abad dua puluh ini, 65 tahun usianya ketika ini. Mula ditahan dalam tahun 1965, ketika itu usianya sekitar 44 tahun. Akibat dari penyeksaan yang dahsyat yang ditanggungnya dalam tahanan ketika diambil statement oleh pendakwa, mereka menyangka umurnya lebih 90 tahun, pada hal umurnya ketika itu 44 tahun — menunjukkan betapa beratnya seksaan yang dilakukan oleh rejim Jamal Abdel Nasser.

Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan "Jamaah Saidatina Muslimah". Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin. Meskipun beliau dipilih menjadi ketua pertama Jamaah itu, namum beliau telah berbai'ah dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Banna, pada penghujung abad 14 hijrah beliau ditugaskan memimpin Jemaah Saidatina Muslimah.

Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam, agar memahami Islam, agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh. Dengan itu mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah. Dia berjuang dengan meletakkan wanita sebagai ibu yang dapat mendidik rijal (pejuang) untuk membangunkan Islam.

Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Kemasukkan sosial budaya barat sedang berlaku dan terus melanda budaya umat Islam — pakaian , tingkah laku dan pemikiran mereka sedang hanyut dalam budaya Barat yang menuju ke arah kehancuran. Inilah dia belenggu sekularisma. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisma ini. Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu, oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar kepada wanita Islam. Untuk melahirkan rijal, tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam. Tanggungjawab umat hari ini, sangat berat iaitu membebaskan diri dari kongkongan dan cengkaman sekularisma yang menguasai negara mereka, membebaskan diri mereka daripada jahiliyah yang sedang mengongkong hati dan pemikiran mereka.

Tanggungjawab ini sangat berat. Sekularisma bukan sahaja wujud sebagai teori semata-mata bahkan ia wujud sebagai institusi yang mengikat teguh sesamanya. Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap ditegakkan kembali dengan izin Allah S.W.T dengan syarat melalui satu jalan iaitu JALAN ISLAM. Negara Islam tidak dapat ditegakkan dengan lain-lain jalan kecuali JALAN ISLAM. Menurut beliau lagi, cara utama untuk kembali kepada JALAN UTAMA ini ialah Revolusi Pemikiran (Thaurah Fikriyah) — satu revolusi yang dapat mengubah pemikiran Jahiliyah kepada pemikiran Islam, berdasarkan 'aqidah Islam. Ini memerlukan Tarbiyah — pendidikan amali untuk membentuk sikap, tindakan-tindakan dan tingkah laku serta pemikiran Muslim dan Muslimah menjadi pemikiran Islam.

Beliau menyebutkan ini sebagai langkah awal dalam pembentukkan Daulah Islam. Beliau fahami ini daripada Al-Quran tentang sunnah perubahan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang maksudnya "Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka." Bahawa perubahan itu tidak akan berlaku kecuali adanya perubahan diri itu…..yang difokuskan kepada jiwa dan hati manusia.

Ini merupakan satu macam ketentuan-sunnatullah dalam mengatur perubahan sejarah. Bahawa perubahan diri ini bermula dengan perubahan pemikiran, peribadi dan tingkah laku diri manusia. Inilah fahaman beliau yang mendalam tentang Islam. Beliau menganjurkan untuk menuju kepada Daulah Islam, hendaklah mengadakan revolusi pemikiran perubahan yang pantas seperti sikap para sahabat. Beliau memetik kata-kata Syed Qutb dalam memperkatakan Jilun - Quraanun - Fariid, satu generasi Quran Yang Unik, bila mereka memeluk Islam, mereka sekali gus meningggalkan ciri-ciri Jahiliyah secara menyeluruh.

Perubahan atau Revolusi yang pantas dan cergas ini dilakukan dan seluruh pandangan mereka tentang nilai-nilai hidup dilihat mengikut neraca Islam, bukan neraca dunia atau Jahiliyah. Beliau memahami bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh Rasulullah S.A.W. dalam Dakwah baginda. Langkah pertama dalam membuat perubahan ialah melalui Tarbiyah atau pendidikan keatas para sahabat, mereka dididik oleh Rasulullah S.A.W. bukan pada teori bahkan pada diri dan tingkah laku mereka. Tarbiyah ini meliputi Tarbiyah Rohani dan Jasmani. Tarbiyah yang menekankan kepada pembentukkan Iman yang mendalam, sehingga tercerna dan lahir dalam tingkah laku mereka, sehingga Al-Quran tercerna dan tercetak pada diri dan tubuh badan mereka. Sehingga segala tindakan mereka adalah Islam — dilihat sahaja pada diri salah seorang dari mereka sudah ternampak akan Islam, ternampak akan Daulah Islam pada diri mereka, dan seterusnya hidupnya adalah Islam. Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. yang mendidik jiwa mereka melahirkan manusia mithali yang unggul dalam sejarah peradaban manusia. Demikianlah natijah hasil dari didikan Iman, yang jelas pada sifat para sahabat.

Lihatlah! Seorang pemuda yang kacak dan anak tunggal dari keluarga hartawan, Mus'ab 'Umair namanya - ia yakin dengan ajaran Muhammad S.A.W. dan terus memeluk Islam sebagai agamanya, sehingga akhir hayatnya. Setelah ibunya mengetahui bahawa Mus'ab mengikut ajaran Muhammad S.A.W, maka ia mengugut tidak akan memberi harta warisan kepada Mus'ab, seandainya ia tidak mahu kembali kepada agama nenek moyangnya. Mus'ab sudah bulat keimanannya, demikianlah hasil didikan Rasulullah S.A.W. terhadapnya dia terus beriman dengan ajaran Muhammad S.A.W. "Aku memilih ajaran Muhammad dari memilih harta kekayaan".

Ibunya pula terus bersumpah, dia tidak mahu makan sehingga Mus'ab kembali kepada agama asalnya. Sebaliknya Mus'ab pula bersumpah "Seandainya ibuku mempunyai 100 nyawa, dan keluar satu demi satu dari tubuhnya aku tetap dengan ajaran Muhammad SAW, aku tetap dengan kalimah LAILAHA ILLALLAH, namun aku tingalkan Islam, sekali-kali tidak". Inilah kesan yang terus menerus dari Tarbiyah, Mus'ab ketika syahid di medan Jihad, tatkala kain yang ada padanya untuk ditutupkan ke atas tubuhnya tutup kepalanya, terdedah kakinya, tutup kakinya terdedah kepalanya. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memerintahkan bahagian kepalanya ditutup dengan kainnya dan bahagian kakinya ditutup dengan daun kayu.

Demikianlah Mus'ab sanggup meninggalkan kesenangan dan kekayaan, dan rela mengorbankan dan menjual dirinya kepada Islam… semoga syurga firdaus ganjarannya. Pengorbanan demikian tidak sanggup dilakukan oleh manusia kecuali mereka yang dididik dengan Iman. Inilah sebagai satu syarat yang diwujudkan oleh Zainab Al-Ghazali, agar Negara Islam dapat dikembalikan.

Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah S.A.W. Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb,; Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah A!-Fath, Aminah Al-Jauhati. Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah.

Mereka inilah yang beliau sifatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah ditangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahawa ini adalah pertanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka. Setelah Mursyidul 'Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai'ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul 'Am penganti Hassan Al-Banna. Dia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. Dia mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.

Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang 'Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan da'wah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah mengunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital. Regim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat.

Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah "sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku". Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.

Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengkagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab: "Dalam perjuanganku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah" Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan……sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali.

Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab di tahan….. setelah di tangkap semula, setelah di bebaskan pada tahun 1964. Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret kebilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam.

Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya. "Ya Allah,kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai". Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelik-belik buku catitan, yang saya tahu itu adalah buku catitan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu. Di waktu itu saya mendengar azan 'Asar ...saya bersyukur kerana ALlah SWT telah menyelamatkan saya dari "keganasan syaitan". Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula.

Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa "Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat."

Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu berapa banyak bilangannya. Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya... saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah S.W.T dalam hati saya... dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya — itulah yang saya rasai.

Saya berdoa "Ya Allah!!! tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain Ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!" Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah... itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah S.W.T bersama-sama dengan saya…Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku. Beliau mengeluh dan merasai ni'mat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah S.W.T kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya.

Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merobak rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka. Waktu itu hari hampir 'Isyak…kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai…saya berserah bulat kepada Allah S.W.T kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk... dilepaskan pula udara sejuk. Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (la'natullah 'alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki.

Demikianlah! segala macam penyeksaan mereka lakukan. Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk... dan macam-macam lagi penyeksaan... dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota…menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali. Beliau mengesahkan, satu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya. Ia berkata "Duhai Makcik ku (Ya Khali), tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus saya memukul mu, Ya Khali". Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka, ia menyeret keluar dan memaki hamun pemuda itu.

Pada esok harinya, ketua penjara memberitahu kepada Zainab Al-Ghazali, pemuda itu ditembak mati. Pegawai penyeksa-penyeksa di penjara terkejut kehairanan bagaimanakah keseksaan yang amat berat itu sanggup ditanggung oleh wanita... yang lebih berat penyeksaan yang ditanggung oleh lelaki... dan tidak sanggup ditanggung oleh sebarangan lelaki. Iman seorang wanita yang kebal dan kental, lebih kuat dari bubur — Muhathah. Mereka amat takjub dan mereka mengatakan, ini adalah suatu perkara yang luar biasa.

Salah seorang dari mereka datang berjumpa dengan Zainab Al-Ghazali. Ia bertaubat dan meminta Zainab untuk mengajarnya Islam dan bagaimanakah hendak mendirikan Solat. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja dilatih keganasan fizikalnya, malah dilatih dengan fahaman mereka. Oleh kerana itu ada di antara mereka berkata kepada Zainab Al-Ghazali: Kamu sering berkata tentang Neraka Jahanam. Sekarang kamu berada dalam neraka Jamal Abdul Nasser. Mintalah keampunan dari Nasser atau Engkau terima syarat-syarat yang ditawarkan olehnya. Ketika Zainab berkata: Allah…Allah…., salah seorang dari mereka berkata: Seandainya kami nampak Allah yang kamu sebut itu, kami akan tangkap ia dan penjarakan bersama-sama kamu. Inilah kekufuran yang berlaku. Inilah yang menyebabkan mereka takut dan gentar kepada gerakan Islam.

Kemudian beliau dibicarakan dalam mahkamah pura-pura, beliau dipenjara seumur hidup. la dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb, bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka menahan kelaparan yang amat sangat. Mereka ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, manalah ada kiranya sisa-sisa makanan, ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan, mereka ambil dan makan kulit-kulit pisang itu, mereka tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.

Zainab Al-Ghazali dipenjara di sebuah kem tahanan tentera yang terletak di pinggir kota Kaherah. Beliau melihat wanita-wanita yang telah rosak akhlaknya, mereka rosak kerana dadah dan arak, mereka telah kehilangan kehormatan mereka, akibat dari proses pembaratan yang dilakukan oleh rejim sosialis. Zainab Al-Ghazali dan saudara-saudaranya itu diberi layanan yang buruk, berbeda sama sekali layanan yang diberikan kepada wanita-wanita Yahudi yang ditangkap kerana kegiatannya sebagai "spy" adalah lebih baik daripada layanan yang diterima oleh Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan saudara-saudara mereka yang lain.

Sehingga beberapa lama beliau ditahan, di satu pagi sekitar tahun 1973, beliau dipanggil dan ditunjukkan surat pembebasan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada ALlah S.W.T, kerana Allah S.W.T lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah S.A.W dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempuhinya adalah benar. Rasulullah S.A.W bersabda "Syaitan diharamkan menyerupai ku". Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah S.A.W adalah satu perkara yang benar.

Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang kini masih hidup, dan terus menjalankan tugas-tugas yang berat ini bersama-sama Mujahid-Mujahid yang lain untuk mengembalikan umat manusia dan alam ini kepada Islam. Berikutan dengan penangkapan beramai-ramai sahabat kita Ikhwan Muslimin oleh rejim Mendiang Anwar Sadat dan diteruskan oleh rejim Husni Mubarak (Zainab Al Ghazali) turut juga ditangkap, tapi kali ini ia hanya ditahan di rumah sahaja kerana dengan alasan sudah uzur. Semoga Allah S.W.T memelihara mereka.

CETUSAN HATI ....

Sahabat-sahabat yang dikasihi, Kisah ini adalah satu realiti sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Sejarah akan berulang. Kekejaman Jahiliyah dan pendokong-pendokongnya (walaupun mereka mengaku Islam) pasti ada walau ketika zaman mana sekalipun. Ini adalah satu sunnatullah. Mereka sanggup menyeksa tanpa ada perikemanusiaan dan penuh dengan kebuasan nafsu syaitan, hatta terhadap wanita sekali pun. Ibu Yasir, Sumaiyah telah menerima penyeksaan dari Quraisy Jahiliyah sehingga membawa ia syahid dan menemui Tuhannya dengan kemuliaan.
Kini, sejarah itu telah berulang lagi, kisah Zainab AI-Ghazali ini sebagai satu realiti.... dan ramai lagi insan-insan beriman menerima penyeksaan dari manusia yang berajakan syaitan.... bagi mereka jika mereka mati, mati mereka adalah mulia.... syahid cita-cita insan yang telah terhunjam ke dalam hatinya cahaya Iman.
Penyeksaan yang demikian berat seksaannya, tidak sanggup ditanggung oleh mana-mana manusia, kecuali insan yang telah terhunjam ke lubuk hati dan jiwanya kelazatan Iman, hati yang telah dididik oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Jalan untuk merelisasikan Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.A.W dan Rasulnya, adalah penuh dengan ranjau-ranjau kesukaran, penuh dengan duri-duri yang sentiasa menceracak ke kaki manusia yang melalui jalan berduri itu.
Jalan Islam tidak dihampiri dengan permaidani merah. Jalan ke syurga penuh kesukaran, jalan ke neraka penuh daya tarikan, keseronokan dan kegembiraan. Hanya insan yang merasai keagungan iman sahaja sanggup membuat pengorbanan demikian dan melalui jalan berduri itu. Hati yang dididik oleh Iman, tiada takut dengan kekejaman manusia, tiada gelisah dengan sindiran manusia, cukup Allah sebagai tempat pengadunya.
Lihatlah bagaimana hubungan terus dengan Allah yang tercerna para sahabat yang dididik oleh Rasulullah, ...dan lihatlah bagaimana tekad bulatnya penyerahan diri Zainab Al-Ghazali kepada Allah, yang tiada putus-putus hubungan dengan Allah, walaupun di dalam keadaan genting sekali pun, dan yakin bahawa: "Allah akan menolong mereka yang memperjuangkan ajarannya, sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa dan Mana Berkuasa"
Dan lihatlah ketika insan yang rindukan menemui Tuhannya di medan jihad, terus meluru ke garisan pertempuran. Mereka berkata "Kamu tidak menunggu kami melainkan untuk memberi kami salah satu dari dua hadiah yang paling cemerlang iaitu kemenangan atau syahid." Atau mereka yang rindukan syahid.... akan berkumandanglah teriakan-teriakan "Hai angin syurga, berembuslah wahai perajurit Allah, berangkatlah." Natijah demikian telah dilahirkan oleh Generasi Al-Quran yang di bawah didikan Rasulullah, Natijah demikian juga telah lahir para Gerakan Ikhwan Muslimin, dan juga telah lahir para Gerakan insan muslimin di Iran sehingga melahirkan Daulah Islamiah, dan bagi kita, tiada jalan lain melainkan Jalan ini, jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Petikan tulisan-tulisan: Zainab Al Ghazali
(1) Al Yuum Fi Hayati (Beberapa hari dalam hidupku)
(2) Tulisannya dalam majalah Al-Da'wah.