Saturday, November 29, 2008

Permulaan-mu Wahai Yang Membenarkan...

Abu Qahafah tawaf di Baitullah. Kelembutan, kebahagiaan dan kedamaian terpancar dari wajahnya. Dia terpandang Abdul Muttalib yang sedang duduk di bawah lindungan Ka’abah dikelilingi oleh sahabat-sahabatnya serta sebahagian anak cucunya. Hamzah, anaknya yang masih kecil, berada di atas ribanya sambil bermain-main dengan janggut ayahnya itu. Menyedari kehadiran Abu Qahafah, ketua Quraisy itu terus menuju ke arahnya lantas menyambutnya dengan gembira.

Kegembirangan yang tergambar di wajah Abdul Muttalib sebenarnya membayangkan kegembiraan yang sememangnya ada pada dirinya. Abu Qahafah terkenangkan nasibnya. Dia terlalu ingin mempunyai anak tetapi keinginannya itu masih belum terkabul. Isterinya telah beberapa kali melahirkan anak sama ada lelaki atau perempuan, tetapi malangnya tiada seorang pun yang hidup.

Ketika itu Ka’abah dipenuhi oleh anak-anak dan budak-budak lelaki. Semua orang Quraisy mempunyai anak kecuali Abu Qahafah. Abdul Muttalib telah pun bercucu dan dapat bermain-main dengan mereka. Begitu juga Umaiyah. Walaupun telah hilang penglihatan, dia masih dapat mencium bau cucu-cucunya. Malah seorang daripada cucunya yang bernama Abu Sufian Bin Harb akan berkahwin tidak lama lagi. Sekiranya Allah masih memanjangkan umur Umaiyah dia akan sempat bertemu dengan cicitnya, cucu anaknya yang bernama Harb. Umaiyah akan bertawaf bersama cicitnya itu di Ka’abah. Ia adalah suatu impian mulia bagi setiap lelaki di Makkah. Abu Qahafah terfikir, dapatkah dia merasai keadaan seperti itu.

Uthman yang lebih dikenali dengan nama Abu Qahafah adalah daripada kabilah Tayim. Salasilah keturunannya bertemu dengan Bani Hasyim dan Bani Umaiyah melalui Ka’ab bin Lu’ai. Kabilah Tayim terkenal dengan sifat lemah lembut dan ramai penyair lahir daripada kalangan mereka. Kaum wanitanya dikenali dengan nama ‘Khazwah’ selepas berkahwin. Kabilah ini juga biasa berniaga tetapi perniagaan mereka tidaklah sebaik perniagaan yang dijalankan oleh Bani Hasyim dan Bani Umaiyah. Namun, ia cukup untuk mengukuhkan kabilah ini agar hidup mereka mulia walaupun tidak semewah orang kaya Quraisy yang lain.

Abu Qahafah sering duduk bersama-sama Abdul Muttalib dan Abdullah bin Jad’an dalam majlis yang mereka anjurkan. Dia menyertai majlis tersebut bukan kerana kefakirannya tetapi untuk menyertai jamuan dan untuk kegembiraan kaumnya. Majlis-majlis sebegitu merupakan keramaian di Makkah. Para ketua kaum berkumpul disitu untuk bertukar-tukar fikiran. Pada waktu itu jugalah biasanya disusun jadual kafilah-kafilah yang akan berangkat ke Basra, Manfun, San’a atau Hirah.

Abu Qahafah ingin hidup dalam ketenangan dan kedamaian. Walaupun hasratnya itu adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehinya, dia tidak terburu-buru mendapatkannya. Dia juga bukanlah seorang yang tamak. Dia ingin hidup dalam kesejahteraan dan berdoa agar Allah memberinya zuriat yang dapat memenuhi kekosongan hidupnya. Tidak pernah terlintas di kepalanya dan tidak pernah terbayang di khayalannya untuk melihat salah seorang anaknya nanti menjadi ketua orang Quraisy. Dia pun berasa hairan bagaimana impian seperti itu tidak wujud dalam dirinya. Dia seorang lelaki yang bijak dan waras. Tidakkah dia ingin melihat salah seorang anaknya menjadi orang yang paling mulia di Makkah seperti Bani Hasyim dan Bani Umaiyah?

Dia melihat persaingan antara Abdul Muttalib dengan Umaiyah serta anak Harb. Apabila Bani Hasyim mengadakan jamuan untuk orang ramai, maka Bani Umaiyah juga segera melakukan perkara yang sama. Apabila Abdul Muttalib menolong seorang fakir atau menziarahi seorang pesakit, Harb segera memberi bantuan dan berziarah. Malah apabila seorang penyair memuji ketua Bani Hasyim atau salah seorang daripada anak-anaknya, penyair-penyair lain cuba memikat dengan memuji Bani Umaiyah dan menonjolkan kemuliaan mereka. Hal yang seperti ini suatu perkara yang biasa berlaku kepada kebanyakan orang Makkah tetapi Abu Qahafah tidak mahu melibatkan dirinya dengan perbuatan seperti itu.

Suatu ketika Bani Tayyim telah bergabung dengan Bani Abdu Manaf. Ketika itu hampir-hampir berlaku peperangan antara mereka dengan kaum bapa saudara mereka, Abd al-Dar. Mereka bertelagah tentang urusan kain penutup Ka’abah dan bendera Quraisy. Lelaki Bani Tayyim telah mencelupkan tangan mereka ke dalam pasu besar berisi wangian sambil bersumpah dan berjanji untuk memerangi musuh mereka. Mereka bersumpah dengan wangian itu untuk berperang. Mujurlah orang ramai berjaya mendamaikan mereka. Kalaulah peperangan itu benar-benar meletus tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi. Namun, perasaan dendam dan hasad dengki tetap terpahat kukuh di sanubari mereka.

Di sebalik perdamaian itu rupa-rupanya Allah telah memberikan mereka kecenderungan kepada kesejahteraan, bukan kecenderungan kepada peperangan yang sia-sia. Allah mahu menjaga anak cucu mereka supaya dapat berperang dan menumpahkan darah untuk risalah yang paling agung yang diberikan kepada manusia iaitu risalah langit.

Abu Qahafah gemar bersama-sama Abdul Muttalib. Dia telah biasa dengan kehidupannya dan memahami tabiatnya. Abdul Muttalib tidak suka berpura-pura dan bermuka-muka kepada masyarakatnya. Abdul Muttalib terkenal dengan peribadinya yang mulia, bersegera untuk membuat kebaikan dengan ilham daripada hatinya. Beliau tidak melakukan perkara-perkara dianggap keji oleh undang-undang dan adat mereka. Beliau tidak pernah minum arak dan mengunjungi rumah pelacuran kerana perbuatan tersebut boleh mencacatkan kemuliaan dan kehormatannya. Inilah yang membezakan beliau dengan Bani Umaiyah. Kebaikan yang dikerjakan oleh Bani Umaiyah bukan lahir daripada jiwa mereka tetapi semata-mata kerana persaingan antara mereka untuk mendapat kebesaran dan kemuliaan.

Abu Qahafah terikat di antara pembesar kaumnya dan kepercayaan masyarakatnya. Menurut kepercayaan masyarakat Makkah, anak yang dilahirkan oleh seorang wanita tidak akan hidup jika wanita itu melintasi pusara seorang pembesar Makkah yang terbunuh dengan tipu muslihat. Tetapi sekiranya dia memijak pusara tersebut, anaknya akan hidup. Dia benar-benar berharap agar anaknya hidup. Tetapi dimanakah pusara pembesar itu? Beliau ingin menyuruh isterinya memijak pusara tersebut sebanyak tujuh kali agar semua anaknya hidup. Kedukaan di atas kematian anak-anaknya itu telah memberi petunjuk kepadanya.

Pada waktu petang ketika Abu Qahafah beredar pulang ke rumahnya dia berkata:

“Bergembiralah ketika mereka berkata tinggallah (‘Amru bin Murrah) di dalam pusara.”

Abu Qahafah segera pulang. Dia mahu menepati janjinya dengan tukang tilik yang akan menziarahinya. Tukang tilik itu akan membuat pendinding bagi isterinya untuk menghalau jin dalam kandungannya yang hampir lahir.

Abu Qahafah masuk menemui isterinya. Dia tenang dalam kedamaian yang wujud. Isterinya duduk seraya meletakkan kepalanya di antara kedua tapak tangannya. Di wajahnya tergambar rasa takut dan bimbang. Tentunya dia begitu bimbang kalau-kalau sesuatu yang buruk akan menimpa janin yang mulia dan dapat dirasakan gerakannya di dalam perutnya. Dia seolah-olah tidak sabar menunggu kedatangan tukang tilik yang akan menuliskan untuknya tangkal azimat untuk memulih bayi yang dikandung agar tidak mati seperti abang-abangnya sebelum ini.

Setelah sembilan bulan mengandung, isteri Abu Qahafah pergi ke Ka’abah. Dia mahu berdoa kepada semua tuhan yang ada supaya memanjangkan umur bayinya. Dalam perjalanan untuk memulakan tawaf dari Hajar Aswad, dia melihat beberapa orang kanak-kanak kecil yang diserahkan oleh kaum keluarga mereka untuk berkhidmat kepada BaitulLah. Terlintas di hatinya untuk menazarkan bayi yang dikandungnya itu kepada Ka’abah bagi mencari keredhaan tuhan. Dia mengusap-usap tangkal yang tergantung di lehernya namun kegelisahan yang bersarang di hatinya tetap tidak hilang. Malah setiap kali dia menyentuhnya, dia seolah-olah mendengar suara-suara yang menyeru agar anak yang dikandungnya itu diserahkan kepada BaitulLah.

“Ya Tuhan, aku menyerahkan kepadamu apa yang ada di dalam perutku. Panjangkanlah umurnya dan kekalkanlah dia bersamaku.” Doa isteri Abu Qahafah dengan cucuran air mata sambil menghadap ke Ka’abah.

Waktunya untuk bersalin semakin hampir. Wanita-wanita Bani Tayim datang menemuinya dengan wajah yang berseri-seri. Bibir mereka menguntum senyuman untuk memberikan semangat kepadanya walaupun di dada mereka terdapat kebimbangan. Mereka takut sekiranya bayi tersebut juga mati sebagaimana anak-anak sebelumnya. Seorang wanita daripada kaum keluarganya menghampiri Abu Qahafah.

“Sekiranya anak yang dilahirkan lelaki, apakah nama yang akan awak berikan?” Wanita itu bertanya.
“Abdul Ka’abah.” Abu Qahafah menjawab dengan nada yang agak serba salah.
“Kalau dia perempuan?”
Mendengar soalan wanita itu, wajahnya bertukar serta-merta. Muram. Kedukaan tergambar di wajahnya.
“Aku belum memikirkannya lagi…”jawab Abu Qahafah, acuh tak acuh.

Suara tangisan bayi kedengaran. Serta-merta Abu Qahafah bangun dari tempatnya. Dia mendongak ke langit. Dia berdoa kepada tuhannya semoga anaknya yang dilahirkannya itu seorang lelaki supaya dia dapat mewarisinya dan mewarisi keluarga Tayim. Perempuan itu pun segera bangun dan bergegas untuk memberitahu perkhabaran yang ditunggu-tunggu.

Abu Qahafah semakin tidak sabar menunggu. Perempuan itu datang dengan wajah yang memancarkan kegembiraan.
“Bayi itu lelaki! Bayi itu lelaki!” Wanita itu berkata dengan amat gembira.

Kegembiraan menyelubungi Abu Qahafah. Dia terlalu gembira. Dia tidak mampu untuk bertenang atau duduk tetap di situ sehinggalah dia diminta untuk masuk melihat anaknya. Hatinya gementar, dia terlalu suka dan gembira.

Dia merenung isterinya. Dia merenung bayi yang sedang tidur di sisinya. Rasa kasih dan sayang menyelubungi jiwanya. Dia berasa lemah untuk menarik rasa kasih sayang tersebut lantas dia mengucup dahi bayinya itu. Kucupan yang meninggalkan perasaan yang halus dalam jiwanya dan sudut hatinya.

Wajah isterinya yang layu kembali berseri. Bibirnya mengukir senyuman yang menawan. Dia berpaling ke arah bayi lelakinya yang dikasihi.

“Comelnya bayi ini, bukankah begitu?” Dia bersuara lagi.
“Ya, memang comel.” Abu Qahafah mengiakan sambil menganggukkan kepalanya.

Dia sungguh gembira dengan kelahiran anaknya itu, seolah-olah dia memperolehi sesuatu yang paling berharga.

Beberapa hari berlalu. Isteri Abu Qahafah gembira bersama bayinya. Namun, kebimbangan menjelma dihatinya. Memikirkam nasib yang menimpa anak-anaknya, bayi itu didakapnya ke dada seolah-olah dia menjaganya dari bahaya. Namun, dia sedar bahawa semua itu tidak mencukupi. Oleh itu dia membawanya ke Ka’abah lantas berdoa.

“Ya Allah, lepaskanlah hamba-Mu daripada kematian, lalu berikanlah dia kepadaku.”

Ketakutannya berkurangan sedikit demi sedikit. Jiwanya semakin damai, tenang dan aman. Harapan kembali tumbuh di hati yang sebelumnya sentiasa bimbang. Dia merenung wajah bayinya. Tiba-tiba wajahnya bercahaya dengan senyuman. Melihatkan keadaan itu, dia segera mendodoikan bayi itu. “Wahai yang merdeka, wahai yang merdeka … dan mempunyai rupa yang elok.”

Dia merasakan seolah-olah alam semuanya menyanyi riang, melebihi nyanyian setiap penyanyi Makkah. Nyanyian para penyanyi itu masuk dari telinga terus ke hati tetapi nyanyian alam yang didengarnya ini adalah dari satu roh ke satu roh dan dari hati yang wujud ke hati yang penuh kasih sayang.

Pada hari kelapan, Abu Qahafah membawa anaknya itu tawaf mengelilingi Ka’abah. Kemudian dia membawanya masuk ke dalam Ka’abah dan berdoa kepada Hubal agar memanjangkan umur anaknya. Dia berdoa dengan linangan air mata sehinggalah air matanya itu menitis ke atas bayi yang didakapnya dengan kasih mesra.

Abu Qahafah mengadakan kenduri untuk Bani Tayim. Para tetamu, lelaki dan perempuan datang meraikan kelahiran anaknya itu. “Siapa namanya?” Wanita-wanita itu bertanya kepada ibunya. “’Atiq”. Jawab si ibu sambil bibirnya menguntum senyuman yang manis.

Wajahnya bersinar dengan kegembiraan. Kaum lelaki juga bertanya kepada bapanya soalan yang sama. “Abdul Ka’abah.” Jawab Abu Qahafah dengan senang hati.

Masa berlalu dan bayi itu pun meningkat dewasa. Namun, dia tidak dikenali dengan nama ‘Atiq dan tidak juga dengan nama Abdul Ka’abah. Sebaliknya dikenali dengan nama Abu Bakar as-Siddiq.

p/s: Ka'abah pada masa itu masih dipenuhi dengan berhala-berhala. Begitu juga masyarakat Mekah masih diselubungi oleh kehidupan Jahiliah sebelum kedatangan Islam.

No comments:

Post a Comment

salam